Tampilkan postingan dengan label Isu Semasa. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Isu Semasa. Tampilkan semua postingan

Memahami Hadith Umat Selepas Zaman Nabi Berbadan Gemuk



Teks hadith tersebut seperti berikut:

Diriwayatkan daripada Imran bin Husain, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ خَيْرَكُمْ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ - قَالَ عِمْرَانُ: فَلَا أَدْرِي أَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ قَرْنِهِ، مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً -ثُمَّ يَكُونُ بَعْدَهُمْ قَوْمٌ يَشْهَدُونَ وَلَا يُسْتَشْهَدُونَ، وَيَخُونُونَ وَلَا يُؤْتَمَنُونَ، وَيَنْذِرُونَ وَلَا يُوفُونَ، وَيَظْهَرُ فِيهِمُ السِّمَنُ
“Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah pada kurunku, kemudian mereka yang datang selepas mereka, kemudian mereka yang datang selepas mereka.” Imran berkata: “Aku tidak tahu adakah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan selepas kurunnya itu dua atau tiga kali.” Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya selepas mereka itu akan ada golongan yang bersaksi sedangkan mereka tidak diminta untuk bersaksi, mereka berkhianat dan tidak boleh dipercayai, mereka bernazar namun tidak menunaikannya dan terzahir pada diri mereka itu kegemukan.”


Kedudukan Hadith

1. Hadith ini statusnya sahih. Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Namun hadith ini fokusnya bukanlah kepada aspek kegemukan semata-mata bahkan fokus utama dalam hadis ini ialah teks awal hadith iaitu akan muncul kaum yang memberi kesaksian tanpa diminta, orang yang khianat dan tidak boleh dipercayai serta bernazar tetapi tidak menunaikannya. Ini poin utama yang disebutkan dalam hadith ini kerana kebanyakan riwayat yang menyebutkan tentang isu ini datang tanpa menyebut tentang lafaz kegemukan. 


2. Imam al-Bukhari memuatkan hadith dengan lafaz ini dalam Sahihnya pada kitab-kitab berikut:
  • As-Syahadat (kesaksian); bab tidak boleh bersaksi dengan kesaksian palsu.
  • Manaqib; bab Kelebihan para Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
  • Riqaq (perkara yang melembutkan hati); bab peringatan terhadap keindahan dunia dan berlumba-lumba terhadapnya.
  • Al-Aiman wa an-Nuzur (Sumpah dab Nazar); bab Dosa bagi orang yang tidak menunaikan nazar.

Manakala dalam Sahih Muslim pula, lafaz ini dimuatkan dalam kitab-kitab berikut:
  • Fadhail as-Sahabah; bab Kelebihan para Sahabat radhiallahu ta’ala ‘anhum dan generasi selepas mereka (tabi’in dan tabi’ al-tabi’in)

Fokus Utama Dalam Hadith

Ini menunjukkan bahawa fokus utama dalam riwayat ini bukanlah masalah obesiti (kegemukan). Ianya merupakan poin tambahan terhadap ciri-ciri generasi akhir zaman setelah disebutkan tiga sifat buruk mereka di awal lafaz hadith. Bahkan riwayat ini juga dimuatkan dalam kitab-kitab akidah ketika para ulama’ membahaskan tentang kelebihan para sahabat dan tanda-tanda akhir zaman.

Terdapat hadith riwayat Al-Tirmizi dalam kitab al-Fitan dan Syahadat yang terus menyebutkan tentang umat kemudian yang sukakan kegemukan selepas lafaz Nabi menyebutkan kelebihan tiga generasi terawal. Namun, Imam al-Tirmizi menilai riwayat tersebut sebagai lemah.

Imam Ahmad Mukhtar al-Qadhi (wafat 683H) menyebutkan bahawa kegemukan disitu ialah perhiasan dunia dan hadith ini ialah gesaan kepada para salaf agar berwaspada terhadap fitnah dunia kerana mereka adalah sebaik-baik generasi sehinggalah kurun yang ketiga. [Al-Mutawari ‘ala Abwab al-Bukhari 1/387]

Imam Ibn Battal (wafat 449H) berkata:

“Hadith ini merupakan celaan dan penghinaan kepada sesiapa yang tidak menunaikan nazar dan perbuatan ini termasuk diantara tanda-tanda dekatnya kiamat...lafaz ‘terzahir pada mereka kegemukan’, adalah perumpamaan bagi keinginan mereka terhadap dunia dan sikap mereka yang mendahulukan syahwat mereka berbanding akhirat.” [Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal 6/156]

3. Fokus utama hadith ini bukan tentang masalah kegemukan tetapi orang-orang yang memiliki sifat khianat, tidak boleh dipercayai dan bersaksi palsu itu kebiasaan mereka semua itu di akhir zaman berbadan gemuk. Bukan sebaliknya. 

Jika difahami bahawa orang gemuk itu biasanya seorang yang khianat, melanggar nazar dan tidak boleh dipercayai, maka ini kefahaman yang maqlub (terbalik) bahkan menyimpang dari maksud hadith. Diskriminasi terhadap mereka yang bertubuh sedemikian boleh berlaku dan boleh membawa kepada penyalahan gunaan hadith oleh mereka yang bertubuh kurus.


Maksud Gemuk Dalam Hadith

Kegemukan mungkin berkait rapat dengan sifat kemalasan, dan kelemahan fizikal. Namun untuk dikaitkan secara mutlak kegemukan dengan sifat peribadi buruk tertentu adalah tidak tepat. Orang gemuk tidak semesti seorang pengkhianat dan penipu. Orang kurus juga boleh jadi sedemikian.

4. Ulama’ berbeza pendapat dalam menghuraikan maksud gemuk dalam hadith ini. Hal ini dijelaskan oleh Imam An-Nawawi (wafat 676H) yang membawakan beberapa pendapat ulama’ antaranya:
  • Gemuk yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah mereka yang banyak dagingnya dengan cara memperbanyakkannya yakni dengan makan dan minum melebihi kebiasaan yang normal. Adapun orang yang memang dijadikan dengan tubuh badan sebegini, maka tidak termasuk dalam lafaz kegemukan disini. Ini merupakan pendapat majoriti ulama’.
  • Gemuk disini bermaksud bahawa mereka ini memperbanyakkan apa yang tidak mereka miliki dan mendakwa sesuatu yang mereka tidak miliknya untuk mendapatkan penghormatan.
  • Gemuk disini bermaksud banyak harta. [Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim 16/87]

Kegemukan Disisi Islam

5. Walaupun hadith ini bukanlah menyentuh tentang masalah kegemukan secara khusus dan terdapat perbezaan pendapat tentang lafaz gemuk dalam hadith itu, namun kegemukan bukanlah sesuatu yang bagus bahkan sebenarnya ditegah syarak. Ketika mengulas hadith ini, Imam As-Syaukani (wafat 1250H) berkata bahawa tabiat suka makan dan minum dengan banyak menjadi punca kegemukan. [Nail al-Autar 8/342]

Imam al-Qurtubi (wafat 671H) berkata:

“Hadith ini menunjukkan celaan kerana kegemukan yang sengaja diperolehi itu adalah akibat banyak makan dan minum, bersantai, berehat, bersenang-senang dan bebas dengan hawa nafsu. Dia adalah hamba kepada dirinya bukan hamba Tuhannya.

Sesiapa yang berada dalam keadaan ini, pasti dia akan terjebak dengan perkara yang haram. Setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu yang dilarang, maka neraka lebih layak baginya. Ini kerana Allah ta’ala telah mencela orang kafir kerana banyak sebagaimana firman-Nya:

‘Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.’ (Surah Muhammad 47:12).
Maka jika seorang Mukmin mengikut jejak langkah mereka dan hidup dengan gaya hidup seperti mereka pada setiap keadaan dan masa, maka dimanakah hakikat keimanan dan perlaksanaan fungi-fungsi Islam? Sesiapa yang banyak makan dan minumnya, banyaklah sifat tamak dan rakus dalam dirinya. Bertambah kemalasan dan tidurnya di malam hari. Pada waktu siang pula digunakan untuk bersiar-siar dan malamnya tidur sahaja.” [Al-Jami’ li Ahkam al-Quran 11/67]

Imam Ibn Hajar al-Asqalani (wafat 852H) menyebutkan bahawa kegemukan akibat terlalu banyak makan dan minum bukanlah sifat yang terpuji. Kegemukan ialah sesuatu yang tidak baik kerana biasanya membawa kepada lemah daya fikir dan sedikit ibadah sebagaimana yang masyhur. [Fath al-Bari 1/134; 5/260]

Wallahua’lam.
……….
Ad-Dien Abdul Kadir
06/04/2017_Khamis

Lelaki Yang Buat Wanita Menangis Akan Disebat Malaikat?










Telah tersebar poster ancaman yang sangat dahsyat bagi lelaki wanita dan membuatkan mereka menangis.

Antara hukumannya ialah:

1. Dianggap sebahagian daripada keturunan arab jahiliyyah.

2. Seorang dayus dan haram mengambil akad nikah.

3. Di neraka nanti lehernya akan dijerut oleh Malaikat dengan tulang belakang perempuan itu.

4. Haram ke syurga.

5. Haram cium bau syurga.

6. Jarak dengan neraka adalah senipis sehelai rambut (poin nombor 3 tadi kata dah diseksa di neraka?!)
..........

Kandungan dalam poster ini hanyalah rekaan semata-mata. Dalam ilmu hadith, bentuk sebegini dipanggil At-Tarhib iaitu ancaman.

Antara faktor kemunculan hadith palsu ialah sebagai At-Tarhib iaitu untuk memberikan ancaman kepada manusia akan sesuatu kesalahan supaya mereka rasa takut untuk melakukannya.

Niatnya memang baik tapi ianya tetap salah. Niat yang baik tak bermaksud kita boleh sesuka hati mereka-reka sesuatu berkaitan agama.

Walaupun ia tidak didakwa sebagai hadith tapi ia mungkin akan dipercayai oleh masyarakat awam yang tidak punya pengetahuan mendalam tentang agama.

Kesalahan dalam poster ini;

1. Mereka-reka azab khusus terhadap sesuatu perbuatan. Dalam Islam, hanya Allah dan Rasul sahaja yang ada autoriti/hak untuk menyebutkan tentang sesuatu azab khusus.

2. Azab yang dinyatakan (6 azab) itu terlalu berlebih-lebihan hingga tak sepadan dengan dosa yang dilakukan. Memang inilah bentuk hadith palsu. Ulama' hadith mengatakan bahawa antara tanda sesuatu hadith itu palsu ialah, ancaman atau ganjaran yang diberikan terlalu melampau, tidak sepadan dengan perbuatan.

3. Mendakwa tentang hal ghaib tanpa dalil yang sahih. Perkara berkaitan dengan kiamat, syurga dan keindahannya, neraka dan azab-azab di dalamnya adalah termasuk perkara ghaib yang mana kita semua tidak tahu bagaimana keadaannya. Perkara ghaib tersebut diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul.

4. Dakwaan ianya daripada Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga boleh jadi sengaja direka. Memang menjadi adat orang yang mereka sesuatu berkaitan agama pasti akan menyandarkannya kepada mana-mana tokoh/orang yang berpengaruh untuk menjadikan dakwaannya itu diterima ramai walaupun sebenarnya ia tak disebutkan pun oleh mereka. Selagi tidak ada bukti yang sahih/valid ianya daripada UAI, maka ia dianggap dakwaan palsu.

Kesimpulan:

Ancaman bagi lelaki yang membuat wanita menangis atau terasa hati ini adalah palsu dan rekaan semata-mata. Tidak bersumberkan mana-mana kitab hadith yang muktabar.

Sesiapa yang mereka atau pernah share kepada oranv lain, sila padam dan jelaskan kepalsuan ini.

wallahua'lam.
_________

Ad-Dien Abdul Kadir
Khamis_08/12/2016

Hukum Memakai Pakaian Warna Merah, Adakah Haram?




Ibn Hajar Al-Asqalani menyebutkan 7 pendapat ulama’ tentang hukum memakai pakain berwarna merah ini.

1. Boleh memakai pakai merah secara mutlak. Antara para Sahabat Nabi yang berpendapat sedemikian ialah Ali bin Abi Talib, Talhah, Abdullah bin Ja’far, Al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anhum. Manakala dalam kalangan Tabi’in pula yang berpendapat boleh secara mutlak ialah Sa’id bin Musayyab, An-Nakha’ie, As-Sya’bi, Abi Qilabah, Abi Wail dan sebagainya.

2. Tidak boleh pakai pakaian merah secara mutlak/haram mutlak. Ibn Hajar hanya menyebutkan kewujudan pendapat ini tanpa menyenaraikan siapakah para sahabat, tabi’in atau ulama’ yang berpendapat sebegitu. Namun beliau membawakan dalil dan hujjah pendapat haram mutlak ini kemudian mengkritiknya kerana dalil tersebut lemah dan ada yang palsu.

3. Makruh memakai pakaian yang seluruhnya berwarna merah (al-mushba’ bil humrah) kecuali jika warna merah itu sedikit. Ini ialah pendapat ‘Atha’ bin Abi Rabah, Thawus bin Kaisan, Mujahid.

4. Makruh memakai pakaian merah jika niat untuk berhias atau bermegah-megah, dibenarkan jika memakainya di rumah atau kerana urusan kerja/urusan rasmi dan sewaktu dengannya. Ini ialah pendapat Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma dan pendapat Imam Malik.

5. Dibenarkan pakai pakaian merah yang mana benangnya berwarna merah lalu ianya ditenun hingga jadi pakaian. Dilarang jika selepas tenunan itu diwarna/dicelup dengan warna merah atau dengan erti kata lain, baju selepas disiapkan diwarnakan dengan warna merah. Ini ialah pendapat Imam Al-Khattabi.

6. Larangan warna yang dikhususkan hanyalah pakaian yang dicelup dengan warna mu’asfar. Tidak dilarang jika diwarnakan dengan warna lain. Bagi pendapat ini, Ibn Hajar Al-Asqalani juga tidak mennyebutkan siapakan ulama’ yang berpendapat sedemikian sebagaimana pendapat kedua tadi. Namun setidaknya ia menjadi isyarat bahawa pendapat sedemikian wujud.

* Mu’asfar bukanlah warna merah atau kuning. Ia adalah warna bunga ‘usfur (safflower/kesumba) kuning yang kemerah-merahan mungkin agak keorenan.

7. Larangan itu hanya dikhususkan kepada pakaian yang seluruhnya berwarna merah tanpa ada warna lain langsung seperti warna putih, hitam dan sebagainya. Ini ialah pendapat Imam Ibn Al-Qayyim Al-Jauziyyah.
.......

Diakhir perbahasan Ibn Hajar menyebutkan beberapa pandangan lain antaranya warna merah ini dizaman silam adalah warna yang dibolehkan cuma tidak digemari kerana boleh mengurangkan muru’ah/ kredibiliti orang Islam dizaman itu. (Mungkin dizaman itu merah ni Syiar orang Kafir/musuh Islam)

Beliau juga memberikan beberapa panduan yang mana jika ianya ada, maka warna merah jangan dipakai.

1. Jika warna merah itu menjadi pakaian perhiasan bagi wanita, maka jangan dipakai bagi lelaki.

2. Jika warna merah itu menjadi syiar bagi orang kafir, maka jangan dipakai seperti larangan dalam hadith mitharah hamra’.

3. Jika ianya simbol kemegahan atau sombong.

[Fath Al-Bari 10/306]

.......

Pandangan yang mengatakan makruh pakaian warna merah tanpa diserta warna lain ialah pandangan sebahagian ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali manakala pandangan sebahagian ulama’ Mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian ulama’ hanafi yang lainnya mengatakan boleh memakai pakaian warna merah sepenuhnya [Mausu’ah Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah 6/132].

Untuk perincian qaul mazhab mungkin perlu dibahaskan dalam tulisan yang berasingan. Apapun, jelas isu ini merupakan isu yang diperselisihkan ulama’ zaman berzaman. Bukanlah haram mutlak seperti yang disangkakan sebahagian kita.

Terpulang kepada penilaian anda kerana masing-masing daripada pendapat ulama’ sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Hajar Al-Asqalani. Cuma pendapat haram mutlak itu sahaja yang dinilai lemah dan dikritik oleh Ibn Hajar.

Saya tidak berniat untuk mentarjih (menyebutkan pendapat manakah yang paling kuat) antara tujuh pendapat yang disebutkan Ibn Hajar diatas, cuma saya fikir 3 kriteria untuk melarang memakai pakaian merah yang disebutkan beliau itu jika dilihat pada zaman ini seperti sudah tidak valid lagi.

Terima kasih pada Ibn Hajar kerana meletakkan panduan yang bagi saya cukup berguna untuk ummat dizaman ini yang mana dunia dan adat setempat sudah jauh berubah.

Saya selesa dengan pendapat Ali bin Abi Talib walaupun saya sendiri tiada baju yang full merah without mix with any other colours~

Untuk berkenaan pakaian warna lain seperti kuning dan oren, akan saya bahaskan pada penulisan lain, insyaAllah.



Najiskah Kuah Daging Yang Tertumpah Ke Pakaian?





Beberapa hari lalu semasa awal menyambut hari raya, ramai yang bertanyakan kepada penulis adakah kuah daripada masakan ayam atau daging yang tertumpah ke pakaian itu najis sehingga ianya menyebabkan solat seseorang itu tidak sah jika memakai pakaian tersebut semasa solat?

Ianya berpunca daripada status facebook yang dimuat naik seperti berikut:

(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)



Sebenarnya ianya bukanlah isu kuah itu sendiri tapi ianya isu darah yang masih berbaki/wujud pada daging atau tulang haiwan sembelihan. Apabila ianya bercampur dengan masakan, adakah ianya menjadi najis ataupun tidak. Ini isu yang sebenarnya, bukannya semata-mata kuah itu sendiri. Mungkin itu yang penulis status tersebut tidak sebutkan hingga menjadikan orang ramai terkejut dan sedikit “huru-hara” di alam maya.

Apakah status darah yang masih berbaki pada daging?

(فرع) مما تعم به البلوى الدم الباقي على اللحم وعظامه وقل من تعرض له من اصحابنا فقد ذكره أبو إسحق الثعلبي المفسر من اصحابنا ونقل عن جماعة كثيرة من التابعين انه لا بأس به ودليله المشقة في الاحتراز منه وصرح احمد واصحابه بان ما يبقى من الدم في اللحم معفو عنه ولو غلبت حمرة الدم في القدر لعسر الاحتراز منه وحكوه عن عائشة وعكرمة والثوري وابن عيينة وأبى يوسف واحمد واسحق وغيرهم واحتجت عائشة والمذكورون بقوله تعالي (الا أن يكون ميتة أو دما مسفوحا) قالوا فلم ينه عن كل دم بل عن المسفوح خاصة

Imam An-Nawawi mengatakan bahawa ianya tidak mengapa kerana ianya merupakan masyaqqah (kesukaran) untuk berhati-hati. Bahasa mudahnya, darah yang masih berada pada tulang atau daging sukar untuk dibersihkan atau untuk dipastikan ianya betul-betul tidak ada sebelum ianya dimasak dan sebagainya.

Ini juga pandangan Imam Ahmad dan ashabnya yang mengatakan bahawa darah pada daging itu dimaafkan walaupun jelas akan kemerahannya (maksudnya jelas kewujudan darah tersebut- pen.)
Ini juga pandangan Ummul Mukminin Aisyah radhiallahu ‘anha, Ikrimah, Al-Thauri, Ibnu ‘Uyainah, Abi Yusuf, Imam Ahmad, Ishaq dan selain daripada mereka. Aisyah radhiallahu ‘anha dan yang lainnya berhujjah dengan dalil daripada firman Allah ta’ala:

...قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا
Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak mendapati dalam apa yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi mereka yang ingin memakannya melainkan ianya bangkai, atau darah yang mengalir.... (hingga akhir ayat)” [Al-An’aam:145]

Mereka mengatakan bahawa Allah tidak melarang/mengharamkan makan seluruh jenis darah melainkan darah yang tertumpah/mengalir. [Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab 2/557]


Imam Ibn Kathir menaqalkan pandangan qatadah ketika menafsirkan ayat diatas. Kata Qatadah:

حرم من الدماء ما كان مسفوحًا، فأما لحم خالطه دم فلا بأس به
“Diharamkan daripada darah apa yang mengalir/tertumpah. Adapun daging yang bercampur dengan darah (terdapat darah berbaki padanya-pen.) maka ianya tidak mengapa.” [Tafsir Ibn Kathir 3/352]


Imam Al-Qurtubi mengatakan:

فالدم هنا يراد به المسفوح لان ما خالط اللحم فغير محرم بإجماع، وكذلك الكبد والطحال مجمع عليه
“Darah yang dimaksudkan haram disini ialah darah yang tertumpah/mengalir kerana apa yang bercampur dengan daging maka ianya tidak haram dengan ijma’ para ulama’ contohnya seperti hati, limpa yang disepakati keatasnya.” [Tafsir Al-Qurtubi 2/222]


Kesimpulan Penulis:

Darah yang berbaki pada daging baik itu dimaafkan baik ketika bercampur dengan kuah ataupun tidak. Sebaiknya jika jelas kelihatan kuah daging pada pakaian akibat tertumpah, maka basuhlah terlebih dahulu kesan kotoran itu. Jika mampu, tukarlah pakaian lain namun jika tidak mampu dan bersolat dengan pakaian tersebut, tidak mengapa.


Wallahua’lam.

Ad-Dien Abdul Kadir
Selasa_19/07/2016
14 Syawal 1437 H

Masalah Membaca Bismillah Secara Kuat Atau Perlahan?





Ramai yang keliru atau tertanya-tanya adakah boleh atau sah solat jika berimamkan imam yang tidak membaca basmallah(Bismillahirrahmanirrahim) dengan kuat? Situasi ini mungkin tidak biasa dialami oleh sebahagian orang sehingga merasakan perbuatan itu pelik atau mungkin ada yang anggap ianya tidak betul lalu merasakan solatnya tidak sah kerana biasanya di tempat kita Imam membaca basmallah dengan kuat ketika solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Inilah yang biasanya di hadapi terutama ketika bermakmumkan imam foreigner (warga asing kebiasaannya luar asia tenggara) ketika di kampus atau ketika berada di Mekah dan Madinah.


Masalah Khilaf

Membaca Basmallah secara sir (perlahan) atau jahr (kuat) ketika solat yang ada bacaan jahr yakni Subuh, Maghrib dan Isyak termasuk perkara yang menjadi perbezaan pendapat yang muktabar dalam kalangan ulama’ silam. Mereka berbeza pendapat sama ada adakah basmallah sebahagian ayat daripada Al-Fatihah atau tidak.

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa Basmallah sebelum Al-Fatihah dibaca secara sirr (perlahan) baik dalam solat Jahr (Maghrib, Isyak, Subuh) atau solat Sirr (Zohor dan Asar). Ini ialah pendapat Imam Abu Hanifah, Al-Thauri dan Ahmad.

Imam Malik pula berpendapat bahawa Basmallah tidak perlu dibaca sebelum Al-Fatihah baik dalam solat Sirr ataupun solat Jahr. Begitu juga ketika ingin membaca surah-surah dalam Al-Quran, tidak perlu membaca Basmallah. Tetapi boleh dibaca jika solat sunat.

Bagi Imam As-Syafie pula,  Basmallah sebelum Al-Fatihah perlu dibaca baik dalam solat secara Jarh atau sirr. Jika solat secara Jahr, maka Imam membaca basmallah secara Jahr. Jika solat secara Sirr, maka imam membaca basmallah secara sirr.
[Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid 1/132]


Sebab Ikhtilaf

Bagi Mazhab Hanafi dan Maliki, Basmallah bukanlah sebahagian daripada ayat dalam surah Al-Fatihah atau sebahagian ayat dalam surah lain. Cuma Mazhab Hanafi menyebutkan pengecualiaan bagi Basmallah termasuk ayat dalam Surah Al-Naml, sebagaimana yang ada pada ayat yang ke 30.
Basmallah bukan sebahagian daripada ayat Al-Fatihah disisi mereka berdasarkan dalil hadith daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu:


صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَلَمْ أَسْمَعْ أَحَدًا مِنْهُمْ يَقْرَأُ (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ )
“Aku solat bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar, Umar dan Uthman radhiallahu ‘anhum dan aku tidak mendengar seorang pun daripada mereka membaca Bismillahirrahmannirrahim.” [Riwayat Muslim]


Bagi Mazhab Hanbali pula, mereka berbeza dengan Hanafi dan Maliki dari  sudut Basmallah sebahagian daripada Al-Fatihah. Disisi Hanbali, Basmallah termasuk sebahagian daripada ayat dalam Al-Fatihah. Dalam bab ini, mereka sependapat dengan Mazhab Syafie dan dalam bab membaca sirr atau jahr, mereka sependapat dengan Mazhab Hanafi.

Mazhab Syafie pula berpendapat Basmallah adalah sebahagian daripada surah Al-Fatihah  dan wajib membacanya berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu:


إذا قرأتم الحمد لله فاقرؤوا بسم الله الرحمن الرحيم إنها أم القرآن وأم الكتاب والسبع المثاني وبسم الله الرحمن الرحيم إحداها
“Jika kalian membaca Alhamdulillah (yakni Al-Fatihah), maka bacalah bismillahirrahmanirrahim. Ianya merupakan Ibu Al-Quran dan Ummul Kitab, dan Sab’ul Mathani dan Bismillahirrahmanirrahim itu salah satu daripada ayatnya.” [Riwayat Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra]

Basmallah dibaca sama ada kuat atau perlahan disisi Mazhab Syafie kerana mengikut bacaan Al-Fatihah dalam solat. Jika dalam solat jahr yang mana Al-Fatihah dibaca jahr, maka basmallah juga jahr. Begitu juga sebaliknya. Hal ini disebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’ [3/341]

Antara hujjah mazhab Syafie bahawa basmallah dibaca secara kuat ialah hadith daripada Ali dan Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma:


أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَجْهَرُ بِبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membaca bismillahirrahmanirrahim secara kuat.” [Riwayat Al-Thabrani, Al-Daraquthni, Abdul Razzaq- ini adalah lafaz Al-Thabrani]

Dan banyak lagi riwayat lain yang menjadi hujjah dalam mazhab Syafie.

Adapun hujjah jumhur yang mengatakan Basmallah dibaca secara sir (perlahan) adalah berdasarkan beberapa hadith, salah satunya ialah hadith daripada Aisyah radhiallahu ‘anha:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَسْتَفْتِحُ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيرِ وَالْقِرَاءَةَ بِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memulakan solat dengan takbir dan membaca Alhamdulillahi rabbil ‘alamin (tanpa basmallah)” [Riwayat Muslim]


Kesimpulan

Isu ini merupakan salah satu isu khilaf muktabar yang berlaku dalam kalangan ulama’ silam. Masing-masing mempunyai sandaran dalil dan ijtihad tersendiri. Jika kita sudah biasa beramal dengan method mazhab Syafie, maka tidak boleh bagi kita untuk menyalahkan atau menganggap sesat orang yang berbeza dengan kita.

Jika kita solat dibelakang imam yang berbeza mazhabnya dengan kita, solat kita masih lagi sah dan bacalah basmallah sebagaimana biasa. Tidak perlu kita mengulangi solat semata-mata kerana imam tersebut tidak sama dengan apa yang kita amalkan.

Semoga penulisan ringkas ini memberikan pencerahan dan ilmu yang berguna untuk kita semua amalkan dalam kehidupan.

Wallahua’lan.
__________________
Ad-Dien Abdul Kadir
Jumaat_27/05/2016



Salah Faham Hadith Habbatus Sauda Ubat Segala Penyakit






Habbatus sauda (black seed), jintan hitam atau apa sahaja nama baginya merupakan herba yang terkenal dan digunakan sejak zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Ianya mengandungi pelbagai khasiat dan sering digunakan untuk tujuan perubatan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan adanya hadith-hadith yang menyebutkan tentang kelebihan habatus sauda itu sendiri disisi Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Cuma yang menjadi isu ialah salah faham sebahagian masyarakat yang mengatakan habbatus sauda merupakan ubat bagi apa sahaja jenis penyakit hingga ada yang memburuk-burukkan perubatan moden dan mendakwa berpada dengan mengambil habbatus sauda untuk menyembuh apa jua penyakit.

Saya ditanya oleh Doktor Rafidah daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh yakni salah seorang ahli dalam team MedTweetMy yang merupakan pakar buah pinggang berkenaan isu ini. Tulisan ini cuba untuk menjelaskan aspek hadith, maksud hadith menurut pandangan ulama’ silam dan menjernihkan salah faham yang berlaku.





Tulisan ini sama sekali tidak ada kena mengena dengan isu habbatus sauda memudharatkan apa jua jenis penyakit tertentu sebaliknya hanya ingin fokus kepada makna dan syarahan para ulama' mengenai hadith habbatus sauda yang disalah fahami.


            Hadith yang paling masyhur dalam masyarakat berkaitan kelebihan habbatus saudaialah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ
“Pada habbatas sauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” [Riwayat Al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab Al-Tibb no. 5687; Riwayat Muslim no. 2215]

Dari sudut kesahihan hadith ini, maka tidak ada sebarang keraguan ianya memang hadith sahih. Maka inilah yang menjadi konflik bahkan mungkin “perang” antara masyarakat dan doktor. Bagi doktor, habbatus sauda boleh memberikan kemudharatan bagi beberapa jenis penyakit dan tidak sesuai digunakan, atau mungkin boleh digunakan dengan pemantauan, dos yang ditentukan dan sebagainya. Sedangkan disisi masyarakat pula, habbatus sauda merupakan antara ubat yang paling baik tambahan pula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengatakan ianya penawar bagi segala penyakit. Tidak mungkin kita menolak perubatan Nubuwwah dan mengutamakan perubatan moden daripada apa yang Nabi amalkan sendiri.

            Maka berlakulah perkara yang tidak elok yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat seperti label-melabel, merendahkan, memaki-hamun dan mengutuk doktor. Ada yang mengatakan doktor menolak hadith Nabi, doktor agen yahudi/kafir, doktor terpengaruh ilmu perubatan sains barat dan tidak arif perubatan Islam, doktor jahil dan sebagainya gelaran yang bagi saya tidak patut dilemparkan sebegitu.

            Saya bukanlah ingin membela para doktor dan menentang perubatan Nubuwwah walaupun saya sebahagian daripada keluarga MedTweetMy. Tulisan ini untuk menjelaskan dari sudut Islam menurut pandangan ulama’ silam apakah maksud sebenar hadith itu agar kita semua jelas mengenainya dan mudah-mudahan tidak ada lagi perbalahan antara masyarakat dengan doktor.


Salah Faham Makna Hadith

            Ya, inilah yang berlaku dalam masyarakat.Walaupun hadith itu sahih, namun kefahaman kita terhadap hadith itu belum tentu sahih. Salah faham terhadap makna hadith sering kali menjadi punca perbalahan bukan sahaja masyarakat awam malah golongan agama sendiri. Dalam hal ini, masyarakat awam tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mereka sendiri tidak terdedah dengan syarahan ulama’ apatah lagi mengkaji perbahasan mengenainya. Tambahan pula, lafaz hadith itu sendiri menggunakan lafaz “ kullu daa’ ” (semua penyakit) maka sudah pasti bagi sesiapa yang memahami secara literal akan berpegang sedemikian rupa.

Mari kita lihat makna sebenar hadith ini dan perbahasan ulama’ mengenainya.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) berkata:

“Disebutkan bahawa sesungguhnya ucapan baginda “Seluruh penyakit” itu maksudnya ianya boleh dijadikan ubat dengannya (yakni habbatus sauda). Sesungguhnya ia bermanfaat bagi penyakit-penyakit sejuk sedangkan penyakit panas maka tidak (berkesan).”
            [Fath Al-Bari 10/144]

Imam Ibn Jauzi (wafat 597H) berkata:

“Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa lafaz “kullu” (semua –penyakit-) disini ialah lafaz umum yang membawa makna khusus sebagaimana firman Allah (tentang burung yang berkata kepada Nabi Sulaiman) “Sesungguhnya aku mendapati seorang perempuan yang memerintah mereka dan telah diberikan kepadanya semua benda dan dia juga mempunya singgahsana/istana yang agung. ” [An-Naml:23]...” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]

Ayat ini berkaitan seekor burung Hud-hud yang mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman tentang Ratu/Puteri Balqis di negara Saba'. Makna lafaz kullu (semua) dalam surah An-Naml tersebut bukanlah bermakna seluruh benda yang ada di dunia telah dimiliki oleh Raja Balqis sebaliknya ia bermaksud dia mempunyai kemewahan dunia yang diperlukannya untuk memerintah sesebuah kerajaan. [Tafsir Ibn Kathir 6/186]

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan bahawa lafaz kullu (semua) yang dimiliki oleh Puteri Balqis tersebut ialah lafaz mubalaghah  iaitu semua yang diperlukannya sebagai pemerintah kerajaan. [Tafsir Al-Qurtubi 13/184]

Mubalaghah ialah lafaz hiperbola yakni ucapan kiasan yang yang berlebih-lebihan untuk memperoleh kesan tertentu [kamus dewan edisi-4]

            Inilah yang dimaksudkan dengan lafaz umum tetapi membawa makna khusus. Ianya uslub lafaz yang dibincangkan dalam ilmu usul fiqh. Jika ingin memahami lebih lanjut mengenai lafaz sebegini, sila membaca karya-karya usul fiqh, insyaAllah.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit sejuk yang diucapkan oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqalani sebelumnya? Ianya bermaksud penyakit yang berkaitan dengan cuaca sejuk atau lembab yang mana sesuatu dirawat dengan habbatus sauda kerana sifatnya yang panas.

Imam Ibn Jauzi juga menyebutkan:

“Yang dimaksudkan dalam hadith itu ialah penawar/ubat bagi penyakit-penyakit berkaitan lembab, berkahak yang mana habbatus sauda’ itu sifatnya panas dan kering (berlawanan).” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]


Begitulah yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi (wafat 676H) ketika membahaskan hadith ini bahawa habbatus sauda tidak sesuai pada penyakit tertentu seperti penyakit berkaitan sejuk. Katanya lagi:

“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan sebegini berdasarkan apa yang disaksikannya pada kebiasaan keadaan para sahabatnya radhiallahu ‘anhum” [Syarh An-Nawawi ‘ala Muslim 14/196]


Kesimpulan

            Hadith ini merupakan hadith yang mengandungi lafaz umum namun maksudnya khas. Habbatus sauda sememangnya baik untuk menyembuhkan banyak penyakit namun bukanlah semua penyakit yang ada dimuka bumi ini. Semua penyakit yang dimaksudkan disitu ialah penyakit yang berlawanan sifatnya dengan habbatus sauda’ yakni sakit yang berkait dengan elemen sejuk seperti demam sejuk, selsema dan sebagainya. Itulah yang disebutkan oleh para ulama’ silam.

            Adapun apa yang dikatakan oleh para doktor bahawa habbatus sauda mampu memberikan kesan/ menambah mudharat atau tidak sesuai dengan penyakit-penyakit tertentu, maka ianya bukanlah bertentangan dengan hadith diatas. Nasihat saya, ikutlah nasihat doktor pakar. Jika benar habbatus sauda tidak sesuai dengan penyakit yang dihidapi bahkan boleh memberikan mudharat, maka ianya bukan lagi menjadi keperluan untuk diamalkan kerana mengelak mudharat yang lebih besar itulah yang lebih utama yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh membuat bahaya dan menimbulkan bahaya” [Riwayat Ibn Majah no. 2430]


Ini juga bertepatan dengan kaedah syarak yang disebutkan oleh para usuliyyin:

در المفاسد مقدم على جلب المصالح
“Menghalang kerosakan didahulukan daripada mengambil maslahat”

كل سبب يفضي إلى الفساد نهى عنه إذا لم يكن فيه مصلحة راجحة
“Setiap sebab yang membawa kepada kerosakan dilarang daripadanya jika ianya tidak mempunyai maslahat yang kukuh.”

Tambahan pandangan daripada Doktor #MedTweetMy:

Jika ingin mengamalkan habbatus sauda, pastikan ianya habbatus sauda yang asli (dalam bentuk serbuk yang 100% tulen), tidak diproses/bercampur dengan bahan lain dan dalam kuantiti yang sedikit. Jika mengambil habbatus sauda dalam bentuk pil/kapsul, pastikan ianya telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ada pil-pil habbatus sauda yang telah dicampur dnegan bahan-bahan lain yang boleh memudharatkan.

Habbatus sauda tidak bersalah, yang bersalah mungkin kefahaman dan cara pengambilan kita.

Wallahua’lam
_____________
Ad-Dien Abdul Kadir

Ad-Hoc MedTweetMy
Jumaat _ 25/03/2016


Hukum Jual Beli Kucing



Baru-baru ini masyarakat Malaysia digemparkan dengan suatu artikel dalam akhbar tempatan yang menyebutkan tentang hukum jual beli kucing. Kesimpulan akhir daripada artikel tersebut ialah  jual beli kucing, haram. Ramai netizen bertanya akan kebenaran artikel tersebut. Saya fikir, mungkin mereka semua terkejut kerana tidak pernah dengar perbahasan sedemikian apatah lagi kucing merupakan haiwan peliharaan yang popular dalam masyarakat di Malaysia. 

           Adakah artikel tersebut salah?. Jawabnya tidak. Apa yang disebutkan dalam artikel itu benar , cuma mungkin penulis terlepas pandang bahawa disana ada pandangan lain daripada sarjana Islam terdahulu. Ulama’ berbeza pandangan dalam masalah ini. Ada dua pandangan.

1. Haram jual beli semua jenis kucing.

Ini merupakan pandangan beberapa ulama’ antaranya Mazhab Az-Zahiri, Imam As-Syaukani. Hujah mereka adalah berdasarkan hadith daripada Jabir radhiallahu ‘anhu ketika beliau ditanya tentang hasil jual beli anjing dan kucing. Jabir radhiallahu ‘anhu mengatakan:

زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada perbuatan tersebut. [Riwayat Muslim]

Ibn Hazm Al-Andalusi daripada Mazhab Az-Zahiri mengatakan:

“Lafaz zajara bermakna larangan keras.” Beliau turut mengatakan bahawa inilah yang difatwakan oleh Jabir dan tidak ada para sahabat yang menyelisihinya (berbeza pandangan) dalam masalah ini sepanjang pengetahuannya. Ia juga pandangan tabi’in seperti Mujahid dan Thawus. [Al-Muhalla 9/13]

Imam As-Syaukani mengatakan:

“Hadith ini merupakan dalil pengharaman jual beli kucing. Inilah pandangan Abu Hurairah, Mujahid, Jabir bin Zaid serta diriwayatkan juga ianya pandangan daripada Ibn Munzir, serta Al-Munziri daripada Thawus. Sedangkan pandangan jumhur ulama’ berpendapat jual beli kucing itu dibenarkan...”

Beliau turut menyebutkan:

“Dikatakan bahawa jual beli kucing ini membawa kepada larangan yang bersifat karahah tanzih (makruh ringan yang mendekati harus), dan sesungguhnya jual beli ini bukanlah termasuk peribadi akhlak yang mulia dan bermaruah. Tidak boleh menafikan adanya larangan ini daripada makna yang hakiki tanpa sebarang alasan yang kukuh.” [Nail Al-Authar 8/177-178]


2. Dibenarkan jual beli kucing.

Ini merupakan pandangan jumhur (majoriti) ulama’ mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Disebutkan dalam Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah:

“Adapun kucing maka jumhur fuqaha’ membenarkan jual belinya kerana ianya merupakan haiwan yang bermanfaat. Adapun hadith Jabir radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang jual beli anjing dan kucing, merujuk kepada kucing yang tidak bertuan (kucing liar), atau kucing yang tidak boleh dimanfaatkan.” [Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah 10/165]

Imam Ibn Munzir dalam Al-Ishrafmenyebutkan:

“Ijma’ (sepakat) para ulama’ bahawa mengambil kucing ini (tanpa jual beli) adalah diharuskan. Para ulama’ berbeza pandangan tentang jual belinya, diriwayatkan kepada kami bahawa Ibn Abbas memberi rukhsah (keringanan) dalam masalah jual beli ini. Ini juga pandangan Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Malik, Sufyan Al-Thauri, As-Syafie, Ahmad, Ishaq bin Rahuyah, dan ashab ar-Ra’yi (daripada Mazhab Abu Hanifah).” [Al-Ishraf ‘ala Mazahib Al-‘Ulama’ 6/15]

Imam An-Nawawi  As-Syafie berkata:

“Adapun jual beli kucing ini membawa makna bahawa ianya dilarang bagi kucing yang tidak bermanfaat atau ia boleh membawa makna tanzih(makruh ringan yang mendekati harus) kerana kebiasaannya orang memberikannya sebagai hadiah, dipinjamkan atau diberikan percuma begitu sahaja. Inilah kebiasaannya. Adapun jika ianya membawa manfaat maka jual belinya itu sah dan hasil jual beli itu juga halal. Inilah pandangan mazhab kami (As-Syafie) dan mazhab ulama’ seluruhnya kecuali apa yang diriwayatkan daripada Ibn Munzir, Abu Hurairah, Thawus, Mujahid, dan Jabir bin Zaid bahawa ianya tidak dibenarkan.”
[Syarh An-Nawawi ‘ala Muslim 5/420]

Beliau turut menyebutkan hal yang sama dalam kitabnya Al-Majmu’ dan menambah huraian bahawa kucing termasuk haiwan yang suci, bermanfaat dan menepati seluruh syarat-syarat jual beli (yakni bukan haiwan yang diharamkan), maka jual belinya itu dibolehkan sebagaimana bolehnya jual beli himar dan baghal (sejenis keldai). [Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab 9/229]

Imam Al-Ruyani As-Syafie berkata:

“Telah diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada jual beli kucing. Yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah kucing liar yang tidak bermanfaat bahkan ianya boleh memudharatkan. Dan binatang yang tidak memberikan manfaat seperti singa, serigala mahupun burung-burung yang tidak boleh ditangkap/dipelihara (burung liar) maka tidak dibenarkan jual belinya.” [Bahr al-Mazhab 5/91]

Imam Sahnun Al-Maliki menyebutkan ketika ditanya:

            “Adakah Imam Malik membenarkan jual beli kucing?” Dia berkata: “Ya”
            [Al-Mudawwanah 4/115]

Imam Al-Kharqi Al-Hanafi berkata:

“Jual beli harimau bintang dan burung helang dibolehkan. Begitu juga jual beli kucing dan apa sahaja yang padanya ada manfaat.” [Mukhtasar Al-Kharkhi 1/61]

Imam Ibn Rajab Al-Hanbali berkata:

“Adapun jual beli kucing, maka ulama’ telah berbeza pendapat akan larangannya. Antara yang melarangnya ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Jabir, ‘Atha’, Thawus, Mujahid, Jabir bin Zaid, Al-Auza’ie, dan satu riwayat daripada Imam Ahmad....”

Adapun yang membenarkan jual beli kucing ialah Ibn Abbas dalam satu riwayat, Al-Hasan, Ibn Sirin, Al-Hakam, Hammad, dan ia juga pandangan Al-Thauri, Abu Hanifah, Malik, As-Syafie, dan pandangan yang masyhur daripada Ahmad. [Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam 3/1218]

Kesimpulan:

            Isu jual beli kucing ini merupakan perkara yang diperselisihkan ulama’ zaman berzaman. Mereka yang berpandangan ianya haram, maka mereka mengikut pendapat para ulama’ yang berpendapat sedemikian. Sebaliknya bagi berpendapat ianya dibolehkan, maka mereka juga mengikut pandangan para ulama’ yang muktabar. Tidak boleh salah menyalahkan dalam perkara yang khilaf muktabar.

            Berdasarkan hujah perbezaan pandangan daripada sarjana Islam dan adanya dalil umum yang melarang jual beli kucing meskipun disana ada perbincangan ahli hadith berkaitan kesahihannya riwayat tersebut, maka penulis berpandangan jual beli kucing ini makruh tanzih (makruh ringan yang mendekati harus) sebagaimana yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi dan para ulama’ yang lainnya.

____________________

Wallahua’lam.

Ad-Dien Abdul Kadir

02/03/2016_Rabu