Tampilkan postingan dengan label Akidah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Akidah. Tampilkan semua postingan

Berpegang Zahir Nas Syarak Dikira Sesat?





Guna Zahir Nas Mengeluarkan Seseorang Dari Ahli Sunnah wal Jamaah?
___________

Sebahagian orang mendakwa bahawa mereka yang berpegang kepada zahir Al-Quran dan Al-Hadith sebagai sesat, menyimpang atau terkeluar daripada golongan Ahl Sunnah wal Jamaah. Mungkin dizaman kebelakangan ini kita menemukan sebahagian yang agak "literal" dalam memahami nusus syarak dan tidak mengamalkan qiyas secara meluas sebagaimana yang diamalkan oleh Mazhab Syafie yang diamalkan penduduk negara ini.

Namun, melabel sebagai terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah adalah tidak tepat bahkan salah sama sekali dari prinsip Ahli Sunnah. Jika semata-mata berpegang kepada zahir nas Al-Quran dan Hadith menyebabkan terkeluarnya mereka dari Ahli Sunnah, maka samalah seperti menyatakan sebahagian ulama' Salafussoleh khususnya ulama' Mazhab Az-Zahiri tidak termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah!

Ini kerana Mazhab Az-Zahiri jauh lebih syadid (tegas) dalam berpegang dengan zahir nas Al-Quran dan As-Sunnah bahkan mereka sama sekali tidak berhujah dengan qiyas sebagaimana aimmah Mazhab yang lain. Ibn Hazm Az-Zahiri (wafat 456 Hijrah) berkata:

"Jika kami ditanya bilakah dibenarkan berijtihad dengan dalil (semata-mata)? Kami katakan: "Pada setiap waktu kerana dalil adalah nas dan ijtihad itu adalah mencari hukum Allah dengan Al-Quran dan As-Sunnah sahaja. Kami yakin bahawa sesiapa yang tidak berhujah dengan nas daripada Allah dan Rasulnya, maka dia tidak benar dan ditolak disisi kami. Tidak diterima bagiku hujah daripada Al-Ra'yi dan Al-Qiyas." [Mulakhas Ibtal Al-Qiyas wal Ra'yi wal Istihsan wal Taqlid wal Ta'lil 1/ 41-42]

Sudah tentu menolak qiyas dan berpegang dengan zahir Al-Quran dan Hadith adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip mazhab yang empat namun itu tidaklah mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Ianya disebutkan oleh Abu Mansur Abdul Qahir Al-Baghdadi (wafat 429 Hijrah) ketika membahaskan usul yang disepakati oleh Ahli Sunnah wal Jamaah:

"Dan jika sesiapa yang berpandangan dengan hujah aqal semata-mata dan menolak qiyas dalam furu' hukum-hukum syariat seperti Ahli Zahir (Mazhab Az-Zahiri), maka tidaklah mereka dikafirkan (sebagaimana ahli ahwa' wal dhalal) dengan sebab mereka menginkari qiyas syar'ie." [Al-Farqu Bainal Firaq 1/281]

.......

Kalau kita rujuk pandangan-pandangan Ibn Hazm dalam Al-Muhalla, pasti kita akan menemukan banyak pendapatnya yang literal seolah-olah "tak masuk akal" atau kelakar bagi kita. Itu menunjukkan bahawa method berpegang dengan zahir nas memang diamalkan sebahagian para ulama'.

Mungkin kita tak bersetuju dengan penolakan qiyas disisi Mazhab Az-Zahiri dan praktis ala Mazhab Zahiri yang digunakan sebahagian orang dizaman ini. Namun, untuk melabel mereka yang berpegang dengan zahir nas sebagai sesat, menyimpang dan bukan termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah adalah sesuatu dakwaan yang berat dan tidak adil sama sekali.

Adakah kita sanggup menyesatkan Imam-imam dan pengikut mazhab Az-Zahiri yang jauh lebih rigid dan literal dalam beramal dengan dalil-dalil syarak? Jika tidak, maka mengapa perlu kita melabel orang lain dengan pelbagai gelaran yang buruk hanya disebabkan mereka berpegang dengan pendapat yang kelihatan ala-ala zahiri dalam beberapa keadaan? Sebenarnya jika kita amati dengan cermat, ia hanya diamalkan dalam beberapa permasalahan sahaja. Bukanlah dalam semua keadaan dan tidaklah begitu literal seperti mazhab Zahiri.

Kalaupun kita tidak bersetuju methodologi sedemikian, bersikap adillah dan amanah dalam ilmu lebih baik untuk kita amalkan. Kita bersatu dalam hal yang kita sepakati dan berlapang dada dalam hal yang kita tidak sependapat.


Wallahua'lam.


Tulisan asal di Facebook:

Mengenal Apa itu Syiah dan Ajarannya


بسم الله الرحمن الرحيم



Sejarah Ringkas Syiah

Syiah secara bahasa bermaksud pengikut atau pengiring. Perkataan ini kemudian digunakan oleh para penyokong Sayyidina Ali bin Abi Talib. Mereka mengatakan : “Kami syiah Ali (kami penyokong Ali).” Asal syiah bukanlah satu ajaran Akidah sebaliknya mereka merupakan sebuah gerakan politik yang akhirnya berubah menjadi salah sebuah aliran Akidah yang besar penyelewangannya terhadap Islam.

            Dr. Muhammad Imarah dalam kitabnya Tayyarat al-Fikr al-Islami menyebutkan bahawa Syiah ialah sebuah aliran akidah dan mazhab yang muncul pertama kalinya apabila Hisyam bin al-Hakam memperkenalkan konsep wasiat dan menetapkan Ali sebagai khalifah yang menggantikan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu beliau menisbahkannya kepada tokoh-tokoh ahlul bait (keturunan Nabi) seperti Ja’far as-Sadiq dan sebagainya.

            Sebelum itu, tiada siapa yang menyebutkan konsep wasiat sebegitu. Yang ada hanyalah pandangan daripada beberapa orang Sahabat Nabi yang berpendapat bahawa Ali lebih berhak berbanding Abu Bakar untuk menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi. Pandangan ini hanyalah bersifat pandangan peribadi berdasarkan penilaian mereka terhadap Abu Bakar dan Ali tanpa menyebutkan bahawa Nabi pernah berwasiat bahawa Ali yang akan menggantikannya.

Hisyam bin al-Hakam meninggal pada tahun 190 Hijrah maka bolehlah dikatakan bahawa fahaman Syiah ini muncul pada akhir kurun kedua Hijrah. Syaikh Abu Zahrah dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah menyebutkan bahawa pengaruh falsafah Parsi dan tamadun asing sangat jelas kelihatan dalam ajaran Syiah.

Ini disebabkan fahaman ini bertapak di Iraq yang mana ianya menjadi kawasan pertembungan pelbagai tamadun silam sejak sebelum kedatangan Islam. Kata Syaikh Abu Zahrah: “Kami yakin bahawa Syiah sangat dipengaruhi oleh pemikiran Parsi dalam isu-isu kerajaan dan pewarisan kuasa. Malah kebanyakan ahli Parsi (Iran) pada hari ini ialah Syiah dan tokoh-tokoh Syiah yang terawal berasal dari Parsi.”

Aliran Syiah terpecah kepada beberapa puak. Ada yang masih wujud dan ada juga yang telah pupus. Syiah yang masih ada pada hari ini ialah Syiah aliran Imamiyah yang kebanyakannya di Iran, Iraq, Pakistan dan lain-lain. Manakala Syiah Ismailiyah ada di Afrika Selatan, Syria, India, Pakistan. Syiah Druz dan Nusairah.

Ciri-Ciri Syiah

Penyimpangan yang terdapat dalam ajaran Syiah ini sangat banyak hingga para ulama’ menuliskan banyak kitab-kitab yang khusus untuk menjelaskan aliran ini dengan terperinci. Berikut merupakan sebahagian daripada ajaran-ajaran Syiah;

1.  Syiah mengatakan bahawa jawatan Khalifah setelah kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam DIWASIATKAN kepada Ali bin Abi Talib. Sedangkan disisi Ahlussunnah ianya tidak pernah diwasiatkan sama sekali dan dipilih berdasarkan ijtihan dan persetujuan para sahabat.

2.      Semua sahabat kecuali beberapa orang sahaja dianggap KAFIR kerana mereka telah menyembunyikan wasiat daripada Nabi tentang Ali sebagai penggantinya. Hal ini sudah jelas tidak masuk akal kerana para Sahabat merupakan generasi terbaik sehingga dipuji oleh Allah dalam Al-Quran. Mustahil bagi para Sahabat menyembunyikan sesuatu jika ianya diperintahkan oleh Nabi.

3.    Syiah menuduh Ibu para mukminin, Siti Aisyah sebagai penzina sebagaimana fitnah yang dilemparkan kepadanya dalam peristiwa Ifk. Sedangkan telah jelas bahawa Aisyah tidak bersalah dan difitnah oleh para munafik sehingga Allah menurunkan ayat daripada surah An-Nur untuk menjelaskan serta membebaskan Aisyah daripada fitnah tersebut.

4. Syiah berpandangan bahawa Imam-Imam Syiah yang berasal daripada keturunan Nabi itu Maksum sebagaimana Nabi. Sedangkan disisi Ahlussunnah tidak ada sesiapa yang maksum melainkan hanya Nabi dan Rasul sahaja. Kedudukan mereka tidak dapat ditandingi oleh sesiapa kerana mereka manusia pilihan dan utusan Allah.

5. Mereka menghalalkan nikah mut’ah sedangkan ianya jelas haram disisi Ahlussunnah.

6.  Mereka juga mengharuskan jamak solat dalam apa jua keadaan. Berbeza dengan kita yang menjamakkan solat dalam waktu-waktu tertentu sahaja dengan syarat-syarat yang digariskan syarak.

7.    Syiah menyambut hari Asyura dengan meratapi kematian Sayyidina Hussain dengan ritual-ritual pelik dan menyakiti diri sendiri sedangkan sudah jelas bahawa Nabi melarang meratap terhadap kematian apatah lagi sehingga menyakiti diri sendiri.

Ajaran-ajaran mereka ini disebutkan di dalam kitab-kitab Syiah sendiri seperti Aqaid al-Imamiyah karya Ayatollah Muhammad Reza Muzaffar, Al-Anwar an-Nu’maniyyah karya Syed Nikmatullah al-Musawi, kitab Man la Yahduruhu al-Faqih karya Abu Jaafar Babawiah al-Qumi dan sebagainya.

Kedudukan Syiah, Kafir atau Tidak?

            Sebahagian ulama’ menghukumkan kafir kepada Syi’ah manakala sebahagian yang lain tidaklah sampai ke tahap kafir. Secara umumnya, mereka ini berada dalam golongan yang sesat dan terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Untuk menghukum kafir secara mutlak tidaklah boleh dilakukan dengan mudah dan sewenag-wenangnya.
Antara beberapa garis panduan yang boleh menyebabkan mereka dihukum kafir menurut para ulama’ ialah seperti berikut.

1.       Jika mereka mengatakan para Sahabat kafir maka mereka dinilai sebagai kafir kerana hal ini bertentangan dengan nas-nas Al-Quran antaranya surah Al-Taubah ayat 100. Sebagaimana yang disebutkan Nabi, orang yang menuduh kafir apatah lagi kepada para Sahabat Nabi maka tuduhan itu kembali kepada mereka semula.

2.      Menuduh isteri Nabi yang mulia berzina dan khianat dalam agama.

3.  Mengatakan Al-Quran yang ada hari ini tidak sempurna/tidak lengkap atau masih ada kekurangan.

4.      Mengatakan ada orang yang maksum selain daripada Nabi dan Rasul.


 والله أعلم بالـصـواب 

Pengertian Engkau Yang Kami Sembah Dan Meminta Pertolongan



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Ayat ini tidak asing lagi bagi ummat Islam. Ia merupakan ayat ke 5 dalam surah Al-Fatihah yang dibaca berulang-ulang kali dalam solat. Ayat yang dimaksudkan ialah

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

       Ulama' Bahasa Arab menyatakan bahawa ayat ini didahului dengan maf'ul bih (objek) iaitu ayat (Kepada Engkau, Allah) kemudian barulah fi'il (kata kerja) iaitu perkataan (kami sembah) dan ayat (kami meminta pertolongan). Ayat ini mengandungi erti yang jelas, kuat dan tepat maksudnya iaitu ummat Islam beribadah dan meminta pertolongan khusus kepada Allah subhanahu wa ta'ala semata-mata, tidak kepada selainNya. 

           Ayat ini dibaca berulang-ulang kali bagi seorang Muslim sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali sehari iaitu sebanyak jumlah rakaat dalam solat fardhunya. Bahkan mungkin lebih banyak lagi jika seseorang Muslim itu mengerjakan solat sunat dan berdoa dengannya. Ayat ini merupakan intisari surah Al-Fatihah bahkan merupakan intisari atau tema utama daripada Al-Quran keseluruhannya. 

            Perkataan (Kami menyembah atau beribadah) yang dimaksudkan di dalam ayat ini mencakupi pengertian ibadah yang luas sebagaimana luasnya Islam itu sendiri. Ibadah yang dimaksudkan termasuklah solat, zakat, puasa, membaca Al-Quran, berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran, bahkan berdoa juga dikira sebagai ibadah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Doa itu ialah Ibadah. [Riwayat Al-Tirmizi, Beliau mengatakan hadith ini darjatnya Hasan Sahih]

Semua ummat Islam maklum bahawa asasnya semua ibadah yang dilakukan hanyalah untuk Allah subhanahu wa ta'ala. Ikhlas kepadaNya dan hanyalah untukNya. Bukan untuk orang lain atau kerana sesiapa pun. Begitulah juga konsepnya dalam berdoa atau meminta pertolongan. Meminta pertolongan, doa, harapan dan sebagainya semestinya kepada pemilik segala kekuasaan iaitu Allah subhanahu wa ta'ala, bukan kepada bomoh, wali, tokoh atau manusia tertentu hanya kerana ketinggian dan kemuliaan darjatnya. Allah ta'ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُو رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun". [Al-Jinn 72:20]
Jika kita beribadah hanya kepada Allah subhanahu wa ta'ala kenapa berdoa dan meminta tidak kepadanya? Kenapa berdoa kepada para bomoh, wali atau tokoh tertentu? Adakah kerana kemuliaan dan kedudukan mereka yang tinggi? Jika begitu apakah Allah ta'ala lebih rendah kedudukannya berbanding mereka? Adakah Allah ta'ala tidak mendengar doa orang lain selain mereka? 




Jawabnya tentu sekali tidak. Allah mendengar semua permintaan hamba-hambanya. Bahkan syaitan yang terkutuk lagi dilaknat itu juga didengar dan dimakbulkan permintaannya untuk ditangguhkan kematian untuk menyesatkan anak adam. Syaitan yang paling keji dan jahat dimakbulkan doa oleh Allah, maka sudah tentu doa orang-orang Islam didengari dan dimakbulkanNya. 


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ

Doa yang dibaca oleh Nabi Zinn Nun (Nabi Yunus) ketika berada di dalam perut ikan ialah: Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau (Ya Allah), Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Tidaklah sesekali seorang Muslim membaca doa ini untuk meminta sesuatu melainkan Allah akan mengabulkannya (menerimanya). [Riwayat Al-Tirmizi, Al-Hakim, dan An-Nasai dalam Sunan Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Asqalani menilai hadith ini Hasan (baik) dalam Al-Futuhat Al-Rabbaniyyah 4/11 dan Takhrij Misykat Al-Masobih 2/431]


Di dalam hadith lain, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hakikat tauhid dan doa sebagaimana yang diajarkannya kepada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma


يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

"Wahai anak, sesungguhnya aku akan mengajarkanmu beberapa kalimat; Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemuiNya dihadapanmu, bila kau meminta, mintalah kepada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya ummat manusia bersatu untuk memberikanmu manfaat (kebaikan), mereka tidak akan dapat memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan dapat membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering. (maksudnya takdir telah ditetapkan) " [Riwayat Al-Tirmizi no. 2516, Berkata Abu Isa (Al-Tirmizi): Hadits ini hasan shahih]


 والله أعلم بالـصـواب 


Talbis Iblis: Muqaddimah dan Ringkasan Biografi Ibn Jauzi


Muqaddimah Talbis Iblis oleh Imam Ibn Jauzi rahimahullah



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


       Puji-pujian bagi Allah yang telah menyerahkan timbangan keadilan kepada tangan orang-orang yang berfikir, yang mengutuskan para Rasul sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, pahala dan seksa, yang telah menurunkan kitab-kitab kepada mereka, menjelaskan yang salah dan yang benar, menjadikan syariat yang sempurna tiada kekurangan dan tiada cela. 

        Saya memujiNya dengan pujian orang yang mengetahui bahawa Dialah pencipta sebab, saya bersaksi terhadap keesaanNya dengan kesaksian orang yang tulus dalam baitnya, tanpa disertai keraguan dan saya bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan RasulNya yang diutuskan untuk merombak kekurufan dengan iman sehingga kegelapan menjadi sirna kerana cahaya petunjuk dan tabir pun tersingkap. 

      Beliau (Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam) menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka, menjelaskan kandungan Al-Kitab yang sukar lalu meninggalkan mereka berada pada hujjah yang putih tanpa ada kepalsuan dan tanpa ada penipuan. Selawat Allah semoga dilimpahkan kepada beliau, seluruh keluarga, para sahabat dan tabi’in, melimpahi mereka dengan kebaikan hingga hari kiamat serta kesejahteraan keatas diri mereka. 

Amma ba’du 

      Sesungguhnya nikmat terbesar yang dilimpahkan kepada manusia ialah akal fikiran. Kerana akal fikiranlah yang menjadi alat untuk mengetahui Allah dan merupakan sebab yang membawa kepada kebenaran para Rasul. Hanya sahaja kerana akal ini tidak boleh diangkat ke suatu darjat yang diinginkan dari hamba, maka para Rasul pun diutus dan kitab-kitab diturunkan. Syariat boleh diibaratkan seperti matahari dan akal boleh diibaratkan seperti mata. Jika mata dibukan dan normal tentu dia boleh melihat matahari. Ketika akal menerima kepastian perkataan para Nabi yang dikuatkan dengan dalil-dalil mikjizat, maka akal itu pun tunduk kepada mereka dan bersandar kepada mereka (dalil-dalil mukjizat daripada kitab yang diturunkan Allah) dalam perkara-perkara yang tidak dapat diterima oleh akal. 

         Ketika Allah melimpahkan nikmat berupa akal kepada alam manusia ini, maka dia memulainya dengan nubuwwah bapa mereka, Adam ‘alaihissalam. Beliau mengajarkan kepada mereka apa yang diwahyukan Allah sehingga mereka berada pada kebenaran. Hanya dengan nafsunya sendiri Qabil (anak Adam ‘alaihissalam) membunuh saudara kandungnya. Setelah itu tersebar pelbagai macam nafsu dalam kalangan manusia dan lama-kelamaan mengheret mereka ke dalam keyakinan dan perbuatan sehingga mereka menyelisihi para Rasul dan akal fikiran, hanya kerana memenuhi tuntutan nafsu, cenderung kepada tradisi dan meniru pemimpin mereka. Iblis pun bertepuk tangan berbangga dengan dugaannya sejala mula, kerana mereka mengikutinya (jejak langkah iblis) kecuali hanya sedikit di antara mereka yang beriman. 

        Ketahuilah bahawa para Nabi membawa keterangan yang mencukupi, menghadapi pelbagai penyakit dengan ubat penawar yang mujarab dan meniti jalan yang tidak saling bertentangan, lalu syaitan datang mencampuri ubat penawar dengan racun, membelokkan jalan yang lurus kepada jalan yang menyesatka. Syaitan terus-menerus mempermainkan akal sehingga memecahkan jahiliyyah kepada beberapa mazhab dan bid’ah (perkara-perkara baru dalam urusan agama-pent.) yang buruk. Akibatnya mereka menyembah berhala dalam Baitul Haram, menyucikan kepulan asap dan anak lembu, membunuh anak perempuan secara hidup-hidup, tidak menganggap wanita sebagai ahli waris dan pelbagai macam kesesatan lain yang telah diatur oleh iblis. Maka Allah mengutuskan Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam untuk menyingkirkan pelbagai macam keburukan dan mensyariatkan perkara yang baik-baik. Para sahabat berjalan bersama beliau dan setelah di bawah pancaran sinar yang selamat dari tipu dayan dan tingkah laku syaitan. 



        Ketika perjalanan siang hari dari kehidupan para sahabat mulai surut dan suram, bermulalah baying-bayang kegelapan lalu bisikan-bisikan nafsu mula menciptakan pelbagai bid’ah (perkara-perkara baru dalam urusan agama-pent.). Jalan yang tadinya lapang mula sempit lalu mereka memisah-misahkan agama dan mereka pun menjadi tidak bersatu. Disinilah iblis bangkit menciptakan perkara-perkara yang serba gemerlapan dan mencabik-cabik serta memecah-belahkan. Sebelah mata pun dia tidak pernah berhenti mengintip. 

      Maka dari itu saya merasakan perlu untuk memperingatkan tingkah laku syaitan dan menunjukkan perangkap-perangkapnya kerana dengan mengenali kejahatan boleh membangkitkan diri untuk bersikap waspada agar tidak terheret ke dalam kejahatan itu. 

Di dalam As-Sahihain (dua kitab hadith sahih iaitu sahih Al-Bukhari dan Muslim-pent.) dari hadith Huzaifah radhiallahu ‘anhu dia berkata: 

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - عَنِ الْخَيْرِ ، وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِى
Orang ramai bertanya tentang kebaikan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan saya bertanya tentang kejahatan kerana saya takut akan mengerjakannya. [Riwayat Al-Bukhari no. 3606; Muslim no. 4890] 


Daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu dia berkata: 

وَاللَّهِمَا أَظُنُّ عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ الْيَوْمَ أَحَدًا أَحَبَّ إِلَى الشَّيْطَانِ هَلاكًا مِنِّي ، فَقِيلَ : وَكَيْفَ ؟ فَقَالَ : وَاللَّهِ إِنَّهُ لَيُحْدِثُ الْبِدْعَةَ فِي مَشْرِقٍ أَوْ مَغْرِبٍ ، فَيَحْمِلُهَا الرَّجُلُ إِلَيَّ ، فَإِذَا انْتَهَتْ إِلَيَّ قَمَعْتُهَا بِالسُّنَّةِ ، فَتُرَدُّ عَلَيْهِ كَمَا أَخْرَجَهَا
“Demi Allah saya tidak rasa di bumi pada ketika ini ada yang lebih disukai oleh syaitan binasa melainkan diri saya” 

Seseorang bertanya maksudnya itu? 

Ibn Abbas menjawab: “Semi Allah kerana dia (syaitan) menciptakan bid’ah di Timur dan Barat lalu seseorang membawakannya kepadaku. Ketika dia sudah tiba dihadapanku maka aku akan menumpaskannya dengan As-Sunnah, lalu dia pun sedar kembali (daripada bid’ah yang dilakukannya-pent.).” [Syarh Usul I’tiqad Ahl Sunnah wal Jama’ah lil Imam Al-Lalikaie 1/30, hadith no.9 ] 

         Saya sengaja menulis buku ini sebagai peringatan daripada cubaan syaitan agar takut kepada ujiannya, menyingkap tabirnya, menjelaskan perangkapnya yang terselindung. Sesungguhnya Allah akan menghulurkan bantuan dengan kemurahanNya dan setiap jiwa yang benar tentu akan meraih tujuannya. 

         Saya membahagikan buku ini menjadi tiga belas bab yang kesemuanya mengungkap tentang talbis iblis (tipu daya iblis). Semoga Allah melimpahkan taufik kepada saya tentang apa yang ingin saya raih ini dan mengilhamkan kebenaran tentang apa yang saya kehendaki. 


Bab 1: Perintah mengikuti Ahl Sunnah wal Jamaah
Bab 2: Celaan terhada bid’ah dan ahli bid’ah
Bab 3: Waspada terhada tipu daya Iblis
Bab 4: Pengertian muslihat dan tipu daya
Bab 5: Tipu daya Iblis dalam masalah I’tiqad (keyakinan) dan agama
Bab 6: Tipu daya Iblis terhada ulama’ dengan segala disiplin ilmunya
Bab 7: Tipu daya Iblis terhadap pemerintah dan pegawai kerajaan
Bab 8: Tipu daya Iblis terhadap ‘Ubbad (ahli ibadah), dengan segala jenis ibadahnya
Bab 9: Tipu daya Iblis terhadap Zuhhad (Ahli Zuhud)
Bab 10: Tipu daya Iblis terhadap Sufi
Bab 11: Tipu daya Iblis terhadap orang yang mengaku mendapat karamah dan ilham
Bab 12: Tipu daya Iblis terhadap orang-orang awam
Bab 13: Tipu daya Iblis terhadap sesiapa yang berangan-angan tinggi 


Biografi Pengarang Kitab Talbis Iblis 



       Beliau ialah Abu Al-Faraj, Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad Al-Jauzi Al-Qurasy Al-Baghdadi. Seorang alim pada zamannya dalam ilmu hadith dan tarikh (sejarah). Dilahirkan di Bagdad pada tahun 508 Hijrah/ 1114 Masihi. Pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau sangat berbeza dengan mereka yang seusia dengannya dizamannya. Beliau banyak mengarang kitab-kitab yang berkualiti dalam ukuran berjilid-jilid atau dalam bentuk yang nipis kira-kira sebanyak 300 buah karangannya. 

        Beliau juga memiliki kelebihn dalam bidang tausiah, mau’izah (nasihat/peringatan) atau berceramah yang belum pernah didahului oleh sesiapa pun sebelumnya. Sangat fasih dalam retorik bahasa dan kata-katanya sangat mendalam maknanya dengan jelas. Beliau mahir membuat pendekatan terhadap masalah-masalah yang rumit dengan perumpam yang mudah difahami serta mampu mengumpulkan kalimah-kalimah yang banyak maknanya dengan perkataan yang mudah. 

     Keluarganya ialah pedagang. Ketika meningkat dewasa dia dibawa oleh ibu saudaranya ke Masjid Muhammad bin Nasir Al-Hafiz kemudian dia mengikutinya, membaca dan memperdengarkan hadith daripadanya. Dia belajar ilmu bahasa Arab dari Abi Al-Mansur Al-Jawaliqi. Dia selalu menjaga mau’izah (peringatan/nasihat) dan mampu memberikan mau’izah ketika berusia 20 tahun atau kurang. Dia juga sering menghadiri majlis mau’izah para khalifah, menteri, raja-raja dan ulama’ serta orang awam. Dikhabarkan majlis mau’izahnya mencecah hampir 10,000 orang yang menghadirinya atau mungkin lebih dari itu. 

Pujian Para Ulama’ terhadap beliau:


              Abu Abdillah bin Ad-Dabitsi dalam kitab tarikhnya mengatakan, “Syaikh kami Jamaluddin (Ibnu Al-Jauzi) adalah pemilik banyak karya dalam bidang tafsir, fiqh, hadith, sejarah dan lain-lain. Beliau adalah orang yang paling menguasai ilmu-ilmu hadith dan mengetahui sahih dan dhaifnya. Beliau adalah orang yang sangat baik perkataannya, sangat sempurna aturan yang dianutnya dan sangat indah lisan dan keterangannya.

        Al-Muwaffaq Abdullatif mengatakan, “Ibnu Al-Jauzi adalah rupawan, baik perangainya, indah suaranya, santun gerakannya dan menyenangkan sendau guraunya. Majlis ilmiyahnya dihadiri oleh seribu orang atau lebih, beliau tidak mensia-siakan waktu sedikitpun. Setiap harinya, beliau menulis karya ilmiyah lebih dari empat kitab kecil. Beliau mengetahui pelbagai ilmu namun yang paling menonjol adalah bidang tafsir, hadith dan sejarah. Meskipun demikian, beliau juga ahli puisi. Dalam bidang kedokteran beliau mengarang buku yang berjudul Al-Luqath sebanyak dua jilid.

         Ibnu Ma’tuq Al-Mahfuz menerangkan, “Ibnu Al-Jauzi adalah orang yang mempunyai kecakapan dalam berbagai ilmu, orang yang terpandai dalam bidang prosa dan puisi, orang yang melebihi sasterawan dan ulama’-ulama’ besar sezamannya dan orang yang memiliki karya lebih dari 340 buah yang tiap-tiap karya tersebut terdiri dari beberapa bahagian bab sampai dua puluh jilid. Aku berfikir bahawa zaman tidak akan mengizinkan ada orang yang menandinginya.

            Az-Zahabi mengatakan, “Ibnu Al-Jauzi adalah ketua para da’i, seorang penulis sya’ir dan prosa yang terkemuka. Kitab-kitab karyannya sungguh menakjubkan para pembaca dan menghanyutkan mereka dalam keindahan. Tidak pernah ada sebelumnya dan sesudahnya orang yang mempunyai kecakapan seperti kecakapanya. 

         Beliau adalah pemegang bendera nasihat agama yang mempunyai penampilan indah, suara yang merdu, perkataan yang mengena dihati dan perilaku yang baik. Ia adalah orang yang mempunyai pengetahuan luas dibidang tafsir, sejarah, ilmu hadith, fiqh, ijma’ dan khilaf ulama’; mempunyai pengetahuan dalam bidang kedokteran dan mempunyai pemahaman, kecerdasan, hafalan dan ingatan yang kuat. 

      Hari-harinya digunakan untuk mengumpulkan ilmu dan menyusun karya. Beliau orang yang selalu menjaga dirinya agar terlihat rapi dan indah dengan memakai pakaian yang baik, ungkapan kata yang sopan dan perilaku yang lemah lembut, menetapi sifat-sifat terpuji dan sangat dihormati orang awam dan ulama’. Aku tidak pernah melihat seseorang yang mempunyai karya seperti karya-karya Ibnu Al Jauzi.”

        Az-Zahabi juga mengatakan, “Ibnu Al-Jauzi adalah syaikh, Imam ulama’ besar, Al-Hafiz, Mufassir, Syaikul Islam, kebanggaan islam dan yang mendapat gelar Jamaluddin.” [Siyar A’lam an Nubala’: 21/365] 


Guru dan murid-muridnya: 


         Guru-gurunya: Az-Zahabi mengatakan, “Guru-gurunya adalah Abu Al-Qasim bin Al-Husain, Abu Abdillah Al-Husain bin Muhammad Al-Bari’, Ali bin Abdil Wahid Ad-Dainuri, Ahmad bin Ahmad Al-Mutawakkili, Ismail bin Abi Shaleh Al-Muazzin, Al-Faqih Abu Al-Hasan bin Az-Zaghuni, Hibatullah bin At-Thabari Al-Hariri, Abu Ghalib bin Al-Banna’, Abu Bakar Muhammad bin Al-Husain Al-Mazraqi, Abu Ghalib Muhammad bin Al-Hasan Al-Mawardi, Abu Al-Qasim Abdullah bin Muhammad Al-Asbihani Al-Khatib, Al-Qadhi Abu Bakar Muhammad bin Abdil Baqi Al-Ansari.”

           Juga tercatat sebagai gurunya; Ismail bin As Samarqandi, Yahya bin Al Banna’, Ali bin Al Muwahhid, Abu Manshur bin Khairun, Badar Asy Syihi, Abu Sa’ad Ahmad bin Muhammad Az Zaurani, Abu Sa’ad Ahmad bin Muhammad Al Baghdadi Al Hafidz, Abdul Wahhab bin Al Mubarak Al Anmathi Al Hafizh, Abu As Suud Ahmad bin Ali bin Al Majalli, Abu Manshur Abdurrahman bin Zuraiq Al Qazzaz, Abu Al Waqt As Sajzi, Ibnu Nashir, Ibnu Al Baththi dan guru-gurunya yang lain yang jumlahnya lebih dari 80 orang.

        Murid-muridnya: Az-Zahabi mengatakan, “Murid-muridnya adalah Muhyiddin Yusuf (anaknya yang menjadi guru besar di Dar al-Mu’tashim billah), Ali An-Nasikh (anaknya yang paling besar), Al-Waizh Syamsuddin Yusuf bin Farghali Al-Hanafi (cucunya, penulis Mir’ah Az-Zaman), Al-Hafiz Abdul Ghani, Syaikh Muwaffaquddin Ibnu Qudamah, Ibnu Dubaitsi, Ibnu An-Najar, Ibnu Khalil, Adh-Dhiya’, Al-Yaldani, An-Najib Al-Harrani, Ibnu Abiddaaim, dan murid-muridnya yang lain. Sedangkan murid-muridnya yang mendapatkan ijazah darinya adalah Syamsuddin Abdurrahman, Ibnu Al-Fari, Ahmad bin Abi Al-Khair, Al-Khadr bin Hammuyah dan Al-Quthb bin Ashrun.” [Siyar a’lam an nubala’: 21/367]


       Beliau rahimahullah wafat pada tahun 597 Hijrah/1201 Masihi. Antara karya-karyanya ialah: 

1. Talbis Iblis 

2. Saidul Kathir 

3. Al-Wafa fi Ahwal al-Mustafa 

4. Ruuhul Ma’ani 

5. Manaqib Umar ibn Abdul Aziz 

6. Manaqib Al-Baghdad 

7. Daf’u Subahti Tasybib wal Radd ‘ala al-Mujassimah 

8. Taqwim Al-Lisan 

9. Funun Afnan fi Ulumil Quran 

10. Mukhtasar Al-Sair wal Akhbar dan banyak lagi. 

Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang bertaqwa. Amin. 



 والله أعلم بالـصـواب 

Adakah Iman Boleh Bertambah Dan Berkurang?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Persoalan berkaitan iman merupakan perkara yang penting dan usul (asas/ pokok) yang penting dalam agama Islam. Ia adalah antara bahagian daripada aspek tauhid dan saling berkait rapat dengan ibadah dan juga akhlak. Apakah iman dan bagaimanakah sifat-sifatnya?. Ia merupakan dua isu yang berbeza yang akan dibentangkan dalam penulisan kali ini. 


Pengertian Iman Di Sisi Ahlu Sunnah Wa al-Jamaah

Iman menurut Ahlu Sunnah Wa al-Jamaah ialah ketetapan yang ada di dalam hati, pengakuan dan ucapan dengan lidah, dan amalan dengan anggota tubuh badan. Disini terdapat tiga pecahan penting yang saling berkait rapat iaitu:

  1. Ketetapan di dalam hati
  2. Pengakuan dan ucapan dengan lidah
  3. Amalan dengan anggota tubuh badan. 
Tiga unsur ini merupakan bahagian-bahagian keimanan seseorang Muslim. Umat Islam yang sempurna imannya bukan sahaja meyakini akan kewujudan dan kekuasaan Allah subhanahu wa ta'ala, bahkan dia turut mengakuinya dengan ucapan lidah melalui kalimah syahadah kemudian beramal dengan amalan-amalan yang telah difardhukan (diwajibkan) serta amalan sunat sebagai penambah baikan. Tidak sempurna iman seseorang Muslim andai hanya membenar dan mengucapkan syahadah semata-mata namun tidak beramal sesuai dengan apa yang telah dituntut keatasnya. 


Sifat Iman Bertambah dan Berkurang

Iman merupakan sesuatu yang bersifat ghaib dan tidak boleh diukur semata-mata dengan perbuatan luaran manusia semata-mata. Ahlu Sunnah wa al-Jamaah menetapkan dan mayakini bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang. Ini kerana kemantapan hati seseorang itu bertingkat-tingkat dan tidak sama setiap masa dan keadaan. Sebagai contoh, kemantapan hati terhadap sesuatu berita atau khabar semata-mata kadang-kala tidak sama dengan kenyataan yang belaku di depan mata atau secara langsung pada diri sendiri.  Contoh yang lain pula seperti keyakinan hati terhadap sesuatu berita yang dikhabarkan oleh satu orang tidak sama dengan berita yang dikhabarkan oleh sepuluh orang, dan sebagainya. 

Maka daripada itu, Nabi Ibrahim 'alaihissalam pernah berkata: 

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَىٰ ۖقَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن ۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَٰكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي ۖ قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا ۚوَاعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [Al-Baqarah 2:260]

Keimanan akan bertambah bergantung kepada ketetapan dan keyakinan hati, ketenangan dan kesediannya. Manusia akan menemukan kesemua itu di dalam dirinya sendiri. Ketika seseorang itu hadir ke majlis ilmu yang di dalamnya terkandung pengisian seperti nasihat-nasihat, penjelasan tentang syurga dan neraka, hari Qiamat dan akhirat, maka keimanannya boleh jadi bertambah sehingga seakan-akan dia melihatnya secara langsung. Namun ketika dia sedang lalai dan jauh daripada majlis-majlis ilmu agama dan nasihat, maka keyakinan hati dan imannya akan berkurang. Berkurangnya iman juga berlaku ketika dalam keadaan sedang melakukan dosa sebagaimana yang masyhur dalam hadith sahih, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

لا يزني الزَّاني حينَ يزني وَهوَ مؤمنٌ ولا يشرَبُ الخمرَ حينَ يشرَبُ وَهوَ مؤمنٌ ولا يسرقُ حينَ يسرقُ وَهوَ مؤمنٌ ولا ينتَهبُ نُهبةً يرفعُ النَّاسُ إليْهِ فيها أبصارَهم حين ينتهِبُها وَهوَ مؤمنٌ

Seseorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri ketika dia berada dalam keadaan beriman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada dalam keimanan. [Riwayat Al-Bukhari (no. 2475, 6772); Muslim (no. 57) daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu]

Begitu juga keimanan dalam perkataan boleh bertambah dan berkurang. Orang yang menyebut Allah sepuluh kali tidak sama dengan orang yang menyebut Allah seratus kali, keimanan orang yang kedua sudah tentu lebih besar. Keimanan dalam ibadah juga boleh bertambah dan berkurang. Orang yang ibadahnya sempurna imannya bertambah daripada orang yang ibadahnya tidak sempurnah, banyak kesalahan dan tidak istiqamah. Begitu juga dengan amalan dengan anggota badan. Orang yang banyak beramal dengan kebaikan maka imannya boleh bertambah begitu juga sebaliknya. Allah subhanahu wa ta'ala berfirman: 


وَمَا جَعَلْنَا أَصْحَابَ النَّارِ إِلَّا مَلَائِكَةً ۙوَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا لِيَسْتَيْقِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا

Dan (ketahuilah bahawa hikmah) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmah) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya. [Al-Mudhathir 74:31]


وَإِذَا مَا أُنزِلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُم مَّن يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَٰذِهِ إِيمَانًا ۚفَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ. وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَىٰ رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ

Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir. [Al-Taubah 9:124-125]


Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr berkata,  Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda dihadapan para wanita: 

وما رأيت من ناقصات عقل ودين أغلب لذي لب منكن . قالت : يا رسول الله ! وما نقصان العقل والدين ؟ قال : أما نقصان العقل فشهادة امرأتين تعدل شهادة رجل . فهذا نقصان العقل . وتمكث الليالي ما تصلي . وتفطر في رمضان . فهذا نقصان الدين

Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal daripada golongan kamu (para wanita). Wanita itu bertanya: "Wahai Rasulullah, Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan akal dan agama itu?" Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Maksud kekurangan akal ialah kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan solat pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama." [Riwayat Al-Bukhari (no. 304) sanadnya daripada Abu Said al-Khudri dengan lafaz yang sedikit berbeza; Muslim (no. 79) sanadnya daripada Abdullah bin 'Amr; Abu Daud (no. 4679) juga dari Abu Said Al-Khudri]


Faktor Bertambah dan Berkurangnya Iman

Terdapat beberapa faktor bertambah dan berkurangnya keimanan seseorang Muslim. Antaranya ialah:

1. Ma'rifatullah (mengenal Allah), nama-nama dan sifat-sifatNya. Orang yang mengenal dan beramal dengan  Allah, nama dan sifatnya akan bertambah pula keimanan dan keyakinannya. Kerana itu kita akan mendapati bahawa orang yang arif dan yakin dengan sifat-sifat dan nama-nama Allah akan lebih baik keimanannya berbanding orang lain. 

2. Melihat tanda-tanda Allah yang ada pada seluruh ciptaanNya di alam semesta serta syariatNya. Setiap kali manusia  merenung kekuasaan Allah yang ada di alam semesta, maka akan bertambah keimanannya sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta'ala


وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَ. وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚأَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?. [Az-Zariyat 51: 20-21]


3. Banyak ketaatan. Manusia yang semakin taat kepada perintah Allah akan semakin bertambah keimananya sama ada ketaatan dari sudut perbuatan mahupun perkataan dan jika berkurang maka dapat menurunkan iman dihati. Zikir dapat menambahkan keimanan begitu juga solat, puasa, haji dan sebagainya baik darisegi kuantiti mahupun kualiti. 

[Fatawa Arkanul Islam lil Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin]



والله أعلم بالـصـواب 


Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah


السلام عليكم



Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah memberi nasihat kepada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu:

إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله
Apabila kamu hendak meminta, maka mintalah kepada Allah dan bila kamu hendak memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. (Riwayat Al-Tirmizi, beliau menilainya hasan sahih)


Imam An-Nawawi dan Al-Haithami menjelaskan maksud hadith ini secara ringkas:

Jika engkau memohon pertolongan dalam sesuatu urusan, baik urusan duniawi atau urusan akhirat, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Lebih-lebih lagi dalam sesuatu urusan yang tidak seorang pun dapat membantunya kecuali Allah seperti menyembuhkan penyakit, masalah rezeki dan urusan petunjuk kepada manusia. Perkara-perkara seperti ini berada dalam lingkungan kekuasaan yang khusus untuk pertolongan dari Allah subhanahu wa ta'ala sahaja. 

Firman Allah subhanahu wa ta'ala

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-An'am 6:17)

Barangsiapa yang inginkan hujjah, maka cukuplah berhujjah dengan Al-Quran dan Hadith. Barangsiapa inginkan penolong, cukuplah Allah sebagai penolongnya. Barangsiapa yang inginkan nasihat, cukuplah kematian dan mengingatinya itu menjadi penasihat baginya, dan barangsiapa yang merasa tidak cukup dengan semua itu, maka cukuplah neraka sebagai tempat untuknya kembali. Firman Allah subhanahu wa ta'ala


أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ ۖ وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِن دُونِهِ ۚ وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَاد

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. (Az-Zumar 39:36)

Berkara Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam Fath Al-Rabbani:

Mintalah kepada Allah dan janganlah meminta selain dariNya! Mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan memohon pertolongan kepada selainNya! Celakalah kamu, dimana akan engkau letakkan mukamu di hadapan Allah di akhirat kelak jika kamu berani menentang Allah di dunia ini. Kamu memalingkan wajah dariNya dan meminta pertolongan kepada makhlukNya dan menyekutukanNya. Engkau keluhkan segala hajatmu dan engkau pasrahkan segala nasibmu kepada makhluknya itu. Buangkanlah perantara-perantara yang menghubungkan dirimu dengan Allah! Kerana kebergantungan kepada para perantara itu adalah suatu kebodohan. Tidak ada kerajaan, kekuasaan, kekayaan dan kemulian kecuali semuanya itu milik Allah. Jadilah kamu orang yang selalu bersama Allah tanpa dengan makhluk! (Bersama Allah dalam berdoa dan begantung harap tanpa perantaraan dari makhluk-makhluknya.)

Memohon pertolongan yang disyariatkan adalah memohon pertolongan secara terus kepada Allah subhanahu wa ta'ala agar Dia melepaskan segala beban kesulitan yang dihadapi. Adapun memohon pertolongan yang boleh membawa kepada syirik seperti memohon pertolongan kepada orang yang telah meninggal, memuja kuburan dan patung atau kepada orang yang hidup namun tidak berhadapan dengannya. Ini kerana mereka semua tidak mampu memberi sedikitpun manfaat baik mudharat bahkan tidak mendengar pun permintaan orang yang meminta kepadanya. Dan jika mereka mendengar, mereka tetap tidak mampu mengabulkan permintaan kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa melakukannya. 

Adapun meminta pertolongan kepada orang yang masih hidup sementara orang itu ada dihadapannya ketika permintaan tersebut seperti meminta pertolongan dalam perkara bersifat material, mendirikan masjid atau keperluan manusia sesama manusia yang lainnya, maka itu dibolehkan. Firman Allah azza wa jalla


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ 

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Al-Maidah 5:2)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه

Allah akan memberikan pertolongan kepada seseorang hamba selama mana hamba itu mahu memberikan pertolongan kepada saudara seagamanya. (Riwayat Muslim)

Diantara contoh bentuk pertolongan yang dibolehkan sesama manusia adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran al-Karim melalui Firman Allah subhanahu wa ta'ala


هَٰذَا مِن شِيعَتِهِ وَهَٰذَا مِنْ عَدُوِّهِ ۖ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِن شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ

Seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya (Al-Qasas 28:15)


فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. (Al-Kahfi 18:95)




والله أعلم بالـصـواب 

Persoalan Fenomena Rahsia Tarikh Lahir








SOALAN


Assalamualaikum,...... apakah hukum amalan menggunakan nombor-nombor pada tarikh lahir untuk tujuan mentafsir dan menganalisis kehidupan seseorg individu contohnya dapat mengetahui status kewangan, keharmonian keluarga, masalah bakal dihadapi dalam tahun-tahun yang dianalisis. Harap sangat dapat sertakan nas-nas naqli utk menangani isu ini. Wassalam terima kasih.


JAWAPAN


Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang seperti yang disebut dalam soalan di atas, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran 

b) Hadith Sohih dan Hasan 

c) Fitrah kejadian alam (sunnatullah)


Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya :

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

" Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" . (an-Naml 27: 65)



Boleh Percaya Kepada Sunnatullah (Hukum Alam)



Maksudnya adalah mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan.

Alah SWT menyatakan : 


وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ
"Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;" (al-Mu'minun 23: 71)


Inilah yang perlu dimaklumi, bahwa alam ini dikendalikan dengan undang-undang dan hukum yang tetap, tidak pernah berubah dan berganti, sebagaimana telah dinyatakan oleh al-Quran dalam beberapa ayat, antara lain sebagai berikut: Firman Allah ertinya :


وَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَحْوِيلًا 
"Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti." (Fathir 35: 43)

Hasil dari kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah. Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mnegetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagai amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah' atau tajribah (kebiasaan) pun ia tidak boleh sama sekali. Ini kerana analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satellite.

Begitu juga khasiat kayu-kayu tertentu untuk mengubati penyakit, menghalau binatang tertentu dan sebagainya. Ia juga bersifat fizikal iaitu kepada kayu tersebut dan bauan atau warnanya. Namun kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang didakwa boleh mengetahui kejadian yang akan datang, masalah yang bakal menimpa, jodoh, sakit dan sihat, akan jadi kaya atau terus miskin dan yang sempamanya BUKAN dari sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh yang kayu dan ramalan cuaca tadi. Hal seumpama ini tidak boleh sama sekali diramal menggunakan tarikh lahir.



Rasulullah s.a.w Pun Tidak Mengetahui Perkara Ghaib

Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'. Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:

"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (an-Naml: 65)

Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:

"Kalau aku dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya aku dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan aku tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain aku hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188)

Oleh kerana itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib, termasuk perkara akan datang dan lain-lain, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak. Hanya sahaja Rasulullah s.a.w mengetahui jika diwahyukan kepadanya seperti tanda-tanda di akhir zaman, tanda-tanda qiamat dan sebagainya.



Jangan Cuba Menjadi Bomoh Secara Tidak Rasmi


Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini? Maka Nabi menjawab dengan tegas:

"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."

Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti meramal dimana boleh dijumpakan orang hilang, dan meramal melalui tarikh lahir, jumlah huruf pada nama seseorang malah adakalanya menyalahgunaan nombor surah al-Quran untuk tujuan ramalan mereka.

Memang tabiat bomoh atau dukun akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.

Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda :


مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. [Riwayat Muslim]


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda lagi :


مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. [ Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Muntaqa , 2/791]

Semoga semua kita terselamat dari kesesatan dan kebahayaan syirik. Perlu diingat, perkara syirik sebegini, sengaja melihat dan menganalisa untuk tujuan ‘suka-suka' juga diharamkan. Ia perlu dijauhi sejauh-jauhnya.





والله أعلمُ بالـصـواب