Tampilkan postingan dengan label TIPS DAN PETUA. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label TIPS DAN PETUA. Tampilkan semua postingan

Kurma, Antara Hadith Dan Sains



السلام عليكم







Buah kurma merupakan sejenis buah-buahan yang tidak asing lagi bahkan cukup sinonim dengan masyarakat Muslim seantero dunia. Kebiasaannya buah kurma mendapat permintaan tinggi terutama apabila tibanya bulan Ramadhan dimana seluruh umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa. Amalan memakan buah kurma merupakan suatu sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadith-hadith. Antaranya ialah:



Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari berpuasa. Kajian sains terkini turut memperakui kelebihan buah kurma yang mengandungi kebanyakan nutrien penting yang diperlukan badan. Sesetengah pihak turut mendakwa buah kurma mampu mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit.

Pada asasnya, kurma mengandungi gula yang mudah diserap badan, memberikan tenaga segera dan berpanjangan untuk menjalankan aktiviti harian atau sembahyang tarawih pada malam hari sepanjang Ramadan. Kandungan serat yang tinggi di dalamnya pula melambatkan rasa lapar ketika berpuasa, dan mempercepatkan rasa kenyang ketika berbuka supaya kita tidak makan secara berlebihan. Kelebihan ini menjadikannya buah yang amat sesuai dimakan ketika bersahur atau berpuasa.

Kajian saintifik seluruh dunia mendapati kurma bukan sahaja mengandungi jumlah karbohidrat (gula) yang tinggi malahan turut mengandungi pelbagai vitamin penting seperti vitamin A, tiamin, riboflavin, niasin, zat besi, vitamin B, asam nikotinat (yang baik untuk usus) dan bermacam-macam lagi. Kurma juga didapati mengandungi banyak garam galian lain seperti magnesium, potasium dan kalsium. Buah ini turut mengandungi kalium yang khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

Setiap 100 gram kurma kering mengandungi 50 IU vitamin A, 0.09 miligram (mg) tiamin, 0.10 mg riboflavin, 2.20 mg niasin, serta 666 mg kalium. Kesemua nutrien penting ini berfungsi membantu membebaskan tenaga yang cukup, menjaga kesihatan kulit dan saraf serta membantu fungsi jantung. Diet yang ditambah buah kurma dikatakan dapat membakar kalori berlebihan badan dengan setiap biji kurma mampu mengurangkan sebanyak 3,470 kalori.

Kurma dan produk berasaskan kurma sering dikaitkan dengan pencegahan, malahan rawatan sesetengah penyakit kronik badan. Ini berikutan jenis dan jumlah nutrien di dalam setiap buah kurma memainkan peranan di dalam membantu fungsi badan berjalan lancar. Sebagai contoh, serat di dalam kurma bukan sahaja melambatkan rasa lapar dan mempercepatkan rasa kenyang. Kandungan serat yang tinggi turut membantu melancar dan mengaktifkan fungsi usus, seterusnya membantu proses perkumuhan dan penyingkiran toksin dari badan.

Kurma juga dikaitkan dengan peranan membantu meningkatkan fungsi sistem badan, sekaligus mencegah penyakit melalui:

1. Pengurangan tekanan darah tinggi, seterusnya mengurangkan risiko angin ahmar dan risiko sakit jantung.

2. Kalium di dalam kurma dapat membantu membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot-otot dan mengatur tekanan darah.

3. Kandungan kalium yang tinggi juga mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.

4. Mengelakkan sembelit, radang usus, anemia dan sebagainya.

5. Mencegah pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis di samping menyihatkan sel darah merah.

6. Mencegah lemah otot, lesu, barah usus besar dan sengal-sengal badan.


Melihatkan kandungan nutrien dalam setiap biji buah kurma dan khasiatnya untuk kesihatan, diet yang ditambah buah kurma amat disarankan, bukan hanya pada bulan Ramadan, malahan bila-bila masa sahaja. Kelebihan buah ini juga bukan hanya untuk dinikmati umat Islam tetapi semua bangsa di Malaysia, tidak mengira agama atau usia patut mencubanya. Beberapa pihak juga dilihat telah mula mengambil langkah mempelbagaikan cara hidangan kurma sama ada dalam masakan atau sebagai jus buah. Ini diharapkan dapat meningkatkan diet buah kurma di negara ini supaya khasiat dan kelebihannya dapat dinikmati ramai dan bukan hanya dinikmati pada masa tertentu sahaja. Kurma banyak kelebihannya dan bukan hanya untuk Ramadan semata-mata.



والله أعلمُ بالـصـواب

Nasihat: Menggunakan Hadith Dalam Penulisan




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Hadith merupakan sumber rujukan dan panduan yang amat penting buat umat Islam. Ia merupakan suatu penguat dan sandara dalam sesebuah hujah, serta menjadi sumber kedua selepas nas-nas al-Quran al-Karim. Di dalam hadith-hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terdapat sumber-sumber hukum berkaitan kehidupan manusia seperti ibadah, muamalah, jinayah, dan sebagainya. Disamping itu juga terdapat kisah-kisah tauladan dan sirah di dalam hadith, perihal syurga dan neraka, galakan ibadah dan ancaman kepada dosa dan sebagainya. 

Menggunakan hadith di dalam penulisan merupakan suatu perkara yang baik sekali apatah lagi jika penulisan itu berunsurkan keagamaan khususnya atau penulisan yang menyelitkan sedikit nasihat atau renungan umumnya. Jika diperhatikan di dalam kemajuan teknologi hari ini, di mana kewujudan internet dan media elektronik memudahkan lagi penyebaran hadith-hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melalui penulisan-penulisan yang ada di laman maya. Jika dahulu, para penuntut ilmu perlu membuka pelbagai kitab-kitab hadith yang tebal dan banyak untuk merujuk hadith, namun kini dengan hanya menaip kata kunci bagi hadith itu melalui laman carian di internet, maka dengan mudah sahaja kita akan menjumpai hadith tersebut. Dan inilah antara kemudahan yang ada pada zaman kita ini yang tidak dikecapi oleh mereka yang terdahulu di dalam perjalanan mencari ilmu-ilmu agama ini.

Namun begitu dewasa ini penggunaan hadith di dalam penulisan umpama sebuah perkataan yang tidak ada makna yang besar buat segelintir penulis. Hadith digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa membuat rujukan terlebih dahulu terhadap hadith tersebut. Jika diperhatikan hari ini, dengan kemunculan blogger-blogger yang membawa tema tertentu dalam penulisan mereka, banyak sekali kelihatan di dalam penulisannya terkandung sesuatu perkataan yang bukan hadith namun dengan mudah penulis menulisnya sebagai hadith yang thabit dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam


Kesalahan Menggunakan Hadith Dalam Penulisan


1. Menggunakan Hadith Palsu (al-Maudhu' al-Hadith) Dalam Penulisan. 

Al-Maudhu'  dari kata wada' al-syaik bermaksud meletakkannya dan ia disebut sedemikian kerana ia sengaja diletakkan bukan pada tempatnya. Menurut istilahnya ia bermaksud sesuatu yang sengaja dibuat-buat dan kemudian disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dengan cara berdusta. Ia merupakan tingkatan hadith yang paling buruk dalam tingkatan hadith. (Tadrib al-Rawi :178, Taisir Mustalah al-Hadith:89)

Banyak sekali kelihatan dalam penulisan-penulisan di blog, laman sosial seperti facebook dan sebagainya yang dengan mudah menggunakan kata-kata yang bukan dari hadith Rasulullah kemudian menyandarkannya sebagai hadith yang thabit dari Baginda. Ia bererti melakukan sesuatu yang diada-adakan dan berdusta atas nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sekaligus menyebarkan pula hadith maudhu' (palsu) kepada mereka yang bakal membaca penulisan tersebut. 

Daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمَّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِن النَّرِ

"Barangsiapa yang sengaja berdusta dengan namaku, maka bersedialah dia untuk dicampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari no.3274)

Oleh itu berhati-hatilah sebelum anda menulis atau quote sesebuah hadith dalam penulisan anda kerana bimbang ia adalah hadith maudhu' yang bukan sahaja memberi pengaruh kepada orang ramai yang membacanya malah memberi ancaman kepada diri sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu. diatas. 


2. Menisbahkan Hadith Dhaif Setaraf Dengan Hadith Sahih

Al-Dhaif adalah lawan dari kata al-Quwa (kuat). Secara istilahnya al-Dhaif al-Hadith bermaksud hadith-hadith yang didalamnya tidak ada sifat-sifat yang ada pada hadith sahih dan hasan. (Ulum al-Hadith Lil Ibn Solah)

Terdapat juga penulis yang mengamalkan sikap menisbahkan hadith-hadith dhaif sama tarafnya dengan hadith hadith sahih. Ini biasa berlaku bagi mereka yang tidak menyemak hadith namun ingin menggunakan hadith-hadith dalam penulisan mereka. 

Contohnya adalah seperti berikut, penulis tersebut menggunakan hadith yang dhaif kemudian dinyatakan ia sebagai hadith ini sahih atau Riwayat al-Bukhari atau Muslim atau Muttafaq 'alaih. Hadith yang digunakan asalnya tiada dalam kitab sahih as-Syaikhain (Bukhari dan Muslim) namun sebagai jalan mudah diletakkan sahaja diakhirnya (Riwayat Bukhari/Muslim/Muttafaq'alaih). Ini sudah pasti akan memudharatkan mereka yang membaca kemudian berhukum dengannya. Bahkan ini juga dinekali sebagai penipuan dalam periwayatan hadith, tadlis. Bagi mereka yang mampu menyemaknya atau mengenali hadith tersebut sudah tentu ia tidak akan mempercayai atau terpengaruh dengannya. Namun bagaimana pula bagi mereka yang tidak mampu untuk menyemaknya? atau yang bersikap taqlid buta tanpa mengkaji? Sudah tentu ia akan memberi kesan kepada orang yang membacanya.


3. Menyebarkan Hadith Tanpa Ilmu

Menyebarkan hadith merupakan suatu amalan yang mulia lagi terpuji jika niatnya benar dan caranya juga benar. Niat yang benar adalah dengan niat kerana Allah, untuk menegakkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia dan untuk mengelakkan perkara-perkara bid'ah yang keji  dan menyalahi sunnah. Niat yang baik memerlukan perlaksanaan dengan ilmu yang baik maka barulah hasilnya juga baik. Jika anda ingin menunaikan solat dengan niat ibadah keranaNya namun anda tidak benar dalam solat, tidak tahu solat dengan baik dan menyalahi sunnah Rasulullah, sudah pasti perlaksanaan solat itu tadi tidak baik sekalipun niatnya baik. Begitu juga dengan menyampaikan hadith, niat sahaja tidak mencukupi. Anda perlu melazimi diri untuk bertanya dan beroleh ilmu tentangnya. Ada sebilangan yang berhujah dengan dalil hadith berikut untuk membenarkan tindakan mereka.

Daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


بَلَّغُوا عَنِّي وَلَوْ ايَةً
"Sampaikanlah dariku walau satu ayat" (Riwayat al-Bukhari no.3274)

Hujah itu memang benar dan thabit dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, namun demikian mereka terlupa akan pesan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam ayat seterusnya dalam hadith tersebut: 

Daripada Abdullah bin Amr radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



بَلَّغُوا عَنِّي وَلَوْ ايَةً وَحَدَّثُوا عَنْ بَنِى ِٕاسْرَئِيلَ وَلاَ حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمَّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِن النَّرِ

"Sampaikanlah dariku walau satu ayat. Kamu boleh menyampaikan riwayat (yang benar) daripada kalangan Bani Israel dan tidak berdosa (jika kamu tidak menyampaikannya). Barangsiapa yang sengaja berdusta dengan namaku, maka bersedialah dia untuk dicampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari no.3274)"


Semak Dahulu Sebelum Menggunakan Hadith Dalam Penulisan


Sikap menyemak dahulu sumber-sumber hadith ini jarang dimiliki oleh penulis-penulis dewasa ini. Boleh dikatakan sebilangan kecil sahaja yang bersikap berkati-hati dan teliti sebelum menggunakan hadith. Sikap ini penting untuk memastikan hadith yang akan digunakan itu sahih dan betul menurut syarat-syarat hadith Maqbul (diterima). Lazimkan diri bertanya dan merujuk kepada mereka yang punya ilmu dalam hadith seperti ustaz-ustazah yang mahir, tokoh-tokoh agama yang anda kenali, sahabat-sahabat yang mempelajari atau yang mengetahui tentang ilmu hadith dan sebagainya. Bertanyalah kepada mereka yang punya sikap yang berhati-hati terhadap hadith dan beramal dengan ilmunya kerana boleh jadi terdapat juga sebilangan kecil golongan agamawan yang turut tidak berhati-hati dalam menyatakan hadith malah lebih malang turut menyebarkan hadith-hadith maudhu' kepada ummah. Nauzubillahiminzalik. 

Amalkan di dalam diri anda, untuk menilai sesuatu kenyataan , hujah, teori, dan sebagainya sebelum menerima, berpegang dan beramal dengannya. Jauhilah sikap bertaqlid buta tanpa ilmu kerana ia akan menyesatkan dan menutup pintu kebenaran buat anda. Lazimi diri anda dengan persoalan sebegini sebelum berpegang dengannya:

Sahih kah? 
Dari mana sumbernya?
Siapa yang mengeluarkan nya?
Siapa yang mensahihkannya?
Apakah ia benar, palsu, dan sebagainya?
Perlu semak dan kaji dahulu sebelum percaya ni.
Perlu semak dan kaji dahulu sebelum beramal ni..

Jika anda senantiasa melazimi persoalan diatas, insyaAllah akan banyak kebenaran dalam ilmu tidak kira Ilmu agama atau dunia yang anda perolehi. Kemudian setelah menyemaknya dan meyakini kesahihannya, maka tiada lagi keraguan untuk anda menyebarkannya, bertaqlid dan beramal dengannya. Kerana anda telah yakin akan kebenaranya berdasarkan kemampuan anda untuk menyemak.

Tidaklah penulis menyatakan bahawa penulis terlepas daripada melakukan kesilapan sebegini namun penulis mengamalkan sikap berjati-hati dalam penulisan yang melibatkan penggunaan hadith berdasarkan ilmu dan kemampuan yang ada pada diri. Adapun segala yang ada di dalam blog ini masih dalam proses semakan memandangkan mungkin ada beberapa entri yang menggunakan hadith dhaif melalui penulisan dari penulis mahupun bekas penulis blog ini suatu masa dahulu. Adapun kebanyakan entri adalah dinyatakan sumber hadithnya untuk rujukan bersama. 



والله أعلمُ بالـصـواب

7 Disiplin Pendakwah Yang Berjaya




السلام عليكم



ORANG yang pada mulanya berminat memahami isu agama dan cuba untuk mendalaminya, akhirnya lari dan menyepikan diri kerana sikap ditunjukkan 'pendakwah awam' atau umat Islam yang tidak bijak membicarakan ilmu agama. Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada Muaz bin Jabal dengan sabda yang bermaksud:

  "Permudahkanlah orang dan janganlah kamu menyusahkan mereka! Gembirakanlah orang dan janganlah membuatkan mereka lari daripada kamu." (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Konsep 'memberi kemudahan' serta 'menggembirakan' orang yang ingin mengenali Islam disuruh Nabi SAW kepada umatnya. Tidaklah menghairankan dalam masa kurang daripada 100 tahun risalah dakwah dibawa Nabi Muhammad SAW, suara azan sudah berkumandang di benua timur dan barat, melepasi batas budaya dan sempadan negara. Bagi menghasilkan natijah terbaik pada diri individu Muslim yang ingin menjadikan dirinya sebagai seorang pendakwah berjaya, ada beberapa faktor penting yang perlu dikaji antaranya:

1. Memperbaiki diri dan mendidik jiwa ke arah iman dan takwa. Pendakwah akan menyeru orang lain menerusi perbuatannya terlebih dulu sebelum dinilai melalui tutur perkataannya. Perkara itu ditekankan kerana ia senjata paling penting daripada sudut penilaian manusia di persekitarannya.

2. Pendakwah juga perlu membersihkan jiwanya daripada sifat mazmumah seperti angkuh, sombong, ego, penakut, bakhil, malas dan pendendam. Jika tidak dikikis segala ia pasti mengundang keburukan pada wajah Islam itu sendiri yang menjadi cerminan pada pendakwah berkenaan.

3. Pendakwah perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu syariat secukupnya. Ilmu syariat mempunyai peringkat, tahap berbeza dan perlu diambil oleh mereka menurut kemampuan akal seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan nescaya dia akan diberikan kefahaman oleh Allah dalam urusan agamanya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

4. Pendakwah juga perlu mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling tanpa mengira usia, budaya, agama, pangkat dan etnik. Kemahiran itu penting bagi membina hubungan baik dengan mereka serta menjadi peribadi disukai ramai.

5. Pendakwah perlu mempelajari kemahiran berdakwah melalui cara terbaik semasa berinteraksi dan berkomunikasi, dialog semasa, memberi kesan kepada pendengar, menarik minat mereka untuk terus mendengar dan isu yang diutarakan sesuai dengan tajuk semasa.

6. Pendakwah perlu mempelajari cara dan teknik terkini yang lebih mantap dengan penuh kesungguhan supaya tidak terus ketinggalan. Segala bentuk maklumat terbaru diperlukan untuk memudahkan penyampaian mesej dakwah kepada orang ramai.

7. Pendakwah secara peribadi harus memahirkan dirinya menyusun masanya yang sesuai untuk membuat sebarang perjumpaan dan pertemuan, menentukan waktu terbaik menyampaikan ceramah, waktu berkesan dan mampu mempengaruhi pendengar.


Teknik pengurusan masa menjadikan keberkesanan dalam dakwah yang dijadualkan secara lebih rapi dan kemas tanpa melupuskan waktu senggang bersama keluarga. Masa yang terurus dan teratur ini akan memudahkan lagi usaha dakwahnya. Sumber lain yang perlu ada pada diri pendakwah ialah dengan mempelajari pendakwah lain yang lebih maju dan profesional. Mereka sepatutnya mempunyai banyak jaringan dan mampu bersahabat dengan ulama serta pendakwah terkenal lain. Mereka juga perlu berkongsi dalam aktiviti dakwah dan melatih diri ke arah pencapaian lebih baik.

Selain itu, mereka perlu meluangkan masa untuk melawat ke pusat dakwah dan badan dakwah yang lain untuk menimba ilmu pengetahuan. Di samping itu, mereka perlu berjumpa pendakwah veteran dengan mengkaji dan mengutip segala pengalaman. Apa yang perlu diteliti pendakwah sebelum berdakwah ialah menilai tahap kemampuan orang yang ditujukan dan ingin disampaikan mesej dakwah. Setiap manusia mampu untuk berdakwah menurut kemampuan dan kebolehan dianugerahkan Allah kepadanya.

Pendakwah perlu bersikap dengan lebih berhati-hati dalam percubaan menyampaikan dakwah dan kesemua ini dapat dicapai melalui latihan berterusan dan berkesinambungan serta penuh kesungguhan mengikut keupayaan termampu.


WADi & Ustaz Fikri Alamghiri al-Maghribi




والله أعلمُ بالـصـواب

26 Doa-Doa Dari Al-Quran




السلام عليكم





Al-Quran adalah kalam Allah yang suci, diturunkan kepada Rasulullah s.a.w untuk panduan umatnya hingga ke akhir zaman. Di dalam Al-Quran al-Karim terkandung pelbagai perkara bukan sahaja meliputi hukum, sirah, dan ibadah, malah turut dimuatkan dengan pelbagai doa yang boleh kita sama-sama hayati akan maksudnya dan amalkan insyaAllah. Berikut adalah 26 Doa-Doa dari Al-Quran al-Karim.

1. 
 ( رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) ) البقرة/201 (

“Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka”. (al-Baqarah:201)

2. 
 ( رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ) ) البقرة/250 (

“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami serta menangkanlah Kami terhadap kaum Yang kafir” (al-Baqarah:250)


3.
 ( رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ) ) البقرة/286 (

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir”. (al-Baqarah:286)


4-
( رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ) ) آل عمران/8 (

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran:8)


5-
( رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) ) آل عمران/16 (

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa Kami dan peliharalah Kami dari azab neraka”; (Ali Imran:16)



6-
 ( رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء) ) آل عمران/38 (

” Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu dari sisiMu zuriat keturunan Yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”. (Ali Imran:38)


7-
( رَبَّنَا آمَنَّا بِمَا أَنزَلَتْ وَاتَّبَعْنَا الرَّسُولَ فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَِ) ) آل عمران/53 (

“Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa Yang telah Engkau turunkan, dan Kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah Kami beserta orang-orang Yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)”. (Ali Imran:53)


8-
( ربَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَِ) ) آل عمران/147 (

“Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami Yang melampau Dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum Yang kafir.” (Ali Imran:147)



9-
( رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلإِيمَانِ أَنْ آمِنُواْ بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الأبْرَارِ رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلاَ تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيعَاد ِ) ) آل عمران/191-194 (

“Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. (191)Wahai Tuhan kami! sebenarnya sesiapa Yang Engkau masukkan ke Dalam neraka maka Sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang Yang zalim tidak akan beroleh seorang Penolong pun; (192) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) Yang menyeru kepada iman, katanya: ` berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka Kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada Kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah Kami bersama orang-orang Yang berbakti; (193) Wahai Tuhan kami! berikanlah kepada Kami pahala Yang telah Engkau janjikan kepada Kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan Kami pada hari kiamat; Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.(194) (al-Imran:191-194)


10-
( رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ) ) الأعراف/23 (

“Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi”. (al-A’raf:23)


11-
( رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ) ) الأعراف/47 (

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau jadikan Kami bersama orang-orang Yang zalim”. (al-A;raf:47)


12-
( رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ) ) الأعراف/126 (

“Wahai Tuhan kami, Limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah Kami Dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”. (al-A’raf:126)


13-
 ( حَسْبِيَ اللّهُ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ) ) التوبة/129 (

“Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar.” (al-Taubah:129)


14-
( رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ) ) يونس/85-86 (

Tuhan kami! janganlah Engkau jadikan Kami landasan fitnah bagi kaum Yang zalim (85). ” dan selamatkanlah Kami Dengan rahmatMu dari angkara kaum Yang kafir”. (86) (Yunus:85-86)


15-
( رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ وَإِلاَّ تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ) ) هود-47 (

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Aku berlindung kepadamu daripada memohon sesuatu Yang Aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah Aku dari orang-orang Yang rugi”. (Hud:47)


16-
( رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء) ) إبرهيم-40 (

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang Yang mendirikan sembahyang dan Demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim:40)



17-
( رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ) ) إبرهيم-41 (

“Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang Yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Ibrahim:41)


18-
( رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا) ) الإسراء-80 (

“Wahai Tuhanku! masukkanlah daku ke Dalam urusan ugamaku Dengan kemasukan Yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya Dengan cara keluar Yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaKu dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan Yang menolongku”, (al-Isra’:80)


19-
( رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا) ) الكهف/10 (

“Wahai Tuhan kami! kurniakanlah Kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada Kami untuk keselamatan ugama kami”. (al-Kahfi:10)


20-
( رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي) ) طه/25-28 (

: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;”Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;”Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku; (Taha:25-28)


21-
( رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا) ) طه/114 (

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. (Taha:114)


22-
 ( لا إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ) ) الأنبياء/87 (

tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Yang menganiaya diri sendiri”. (al-Anbiya’:87)


23-
( رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ) ) الأنبياء/89 (

: “Wahai Tuhanku! janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik Yang mewarisi”. (al-Anbia’:89)


24-
( رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ) ) المؤمنون/97-98 (

“Wahai Tuhanku, Aku berlindung kepadamu dari hasutan syaitan-syaitan “Dan Aku berlindung kepadaMu, Wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”. (al-Mukminun:97-98)


25-
( رَبَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّاحِمِينَ) ) المؤمنون/109 (

` Wahai Tuhan kami, Kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa Kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik pemberi rahmat ‘. (al-Mukminun:109)


26-
 ( رَّبِّ اغْفِرْ وَارْحَمْ وَأَنتَ خَيْرُ الرَّاحِمِينَ) ) المؤمنون/118 (

Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik pemberi rahmat!” (al-Mukminun:118)



Demikianlah 26 doa-doa dari Al-Quran. Sebenarnya masih banyak doa-doa yang tersedia di dalam nya, hanya sahaja ini diambil untuk perkongsian bersama. Jika anda punya kelapangan dan berminat untuk menambah koleksinya, silakan mencari himpunan doa-doa yang lain yang ada di dalam Al-Quran, insyaAllah.



والله أعلمُ بالـصـواب