Tampilkan postingan dengan label KISAH TAULADAN. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label KISAH TAULADAN. Tampilkan semua postingan

Nasihat Emas Fudhail bin Iyadh Berkaitan Beban Jawatan



Fudhail bin Iyadh pernah memberikan nasihat kepada Harun Al-Rashyid sewaktu beliau dilantik menjadi Khalifah ummat Islam. Khalifah Harun Al-Rasyid berkata:

“Ketika Umar bin Abdul Aziz r.a. menjadi khalifah (Bani Abbasiyah), dia pernah mengundang Salim bin Abdullah bin Umar r.a., Muhammad bin Kaab Al-Qurzhi, dan Raja’ bin Haiwah. Umar bin Abdul Aziz berkata kepada mereka, “Sesungguhnya aku sedang diuji dengan musibah ini (jabatan kekhalifahan). Oleh itu, berilah saranan dan nasihat kepada saya!”

Berkata Fudhail ibn Iyadh kepada Khalifah Harun al-Rasyid, “Dahulu, Umar bin Abdul Aziz menganggap jawatan khalifah sebagai musibah. Sementara kamu dan para pegawaimu menganggapnya sebagai nikmat dan anugerah.”

Berkata Fudhail bin Iyadh, “wahai Amirul Mukminin (Harun Al-Rasyid) ! Ketika Abbas bin Abdul Mutthalib radhiallahu 'anhu.,iaitu bapa saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menghadap baginda meminta jawatan seraya berkata, “Wahai Rasulullah, berikanlah jawatan kepadaku!”

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :“Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah! Nyawa yang kamu selamatkan adalah lebih baik daripada jawatan yang tidak dapat kamu pertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jawatan itu akan menjadi bahan penyesalan dan kerugian besar pada hari kiamat kelak. Jika kamu mampu untuk tidak menjadi pemimpin terhadap seseorang, maka lakukanlah!”

Harun Ar-Rasyid pun lalu menangis dengan teruk sekali semahu-mahunya.

Berkata sebahagian salaffussoleh:

"Manusia di akhirat kelak akan dihisab tentang diri mereka, tetapi kamu wahai pemimpin, akan dihisab tentang diri kamu dan semua yang berada dibawahmu! ".

Kisah ini dimuatkan di dalam Tarikh Ad-Dimasyq oleh Imam Ibn Asakir rahimahullah dan Tarikh Al-Bagdad oleh Imam Khatib Al-Baghdadi.

Dalam keghairahan duduk di jawatang yang tinggi, ingatlah beban yang berat di akhirat sedang menanti.


Tulisan asal di Facebook:

Kisah Ibn Mahdi Membetulkan Gurunya Ubaidillah bin Hasan Al-Anbari




|| Mengaku Salah Lebih Disukai Daripada Terus Membela Kesalahan ||

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) menaqalkan kisah menarik antara Ubaidillah ibn Hasan Al-Anbari (wafat 168H) dengan muridnya, Abdul Rahman ibn Mahdi (faqih, Imam Hadith, Guru Imam Ahmad ibn Hanbal, wafat 198H)

 وقال ابن مهدى كنا في جنازة فسألته عن مسألة فغلط فيها فقلت له اصلحك الله أتقول فيه كذا وكذا فاطرق ساعة ثم رفع رأسه فقال إذا ارجع وأنا صاغر لان أكون ذنبا في الحق أحب إلي من أن أكون رأسا في الباطل
Telah berkata Abdul Rahman ibn Mahdi: Suatu hari kami ketika kami sedang menghadiri solat jenazah, kami bertanya kepadanya tentang sebuah masalah, lalu beliau salah ketika menjawabnya. Maka saya katakan kepadanya:
“Semoga Allah menjagamu, jawapan yang benar mengenainya adalah begini dan begini.”
Lalu beliau (Ubaidillah ibn Hasan Al-Anbari) terdiam seketika kemudian mengangkat kepalanya seraya berkata:

“Jika begitu, saya tarik kembali pandangan saya tadi dan saya mengaku salah, kerana menjadi ekor (kerdil) dalam kebenaran lebih saya cintai daripada menjadi kepala (pemimpin) dalam kebatilan (terus-menerus dalam kesalahan).” [Tahzib Al-Tahzib 7/7]

Selain seorang Ulama’ besar dan seorang Salafussoleh, yang hebat, tahukah apa anda kedudukan Ubaidillah ibn Hasan Al-Anbari pada ketika itu?

Beliau seorang Qadhi di Basrah, Faqih dan Hujjah ummat ketika itu. Mencari pemimpin yang bertaraf ulama’ sahaja sudah hampir mustahil di zaman ini, apatah lagi yang sanggup menarik pandangannya dan mengaku salah.

Menariknya, beliau tak rasa terhina pun dibetulkan kesilapannya oleh muridnya atau orang yang lebih muda darinya. Hari ini sebahagian orang jika murid menegur guru, dikatakan pula tidak menghormati guru. Diajar untuk terima sahaja tanpa mempersoalkan.

Orang yang ikhlas dengan ilmu tidak akan malu mengaku salah dan membenarkan orang lain apabila dia sedar dirinya telah tersilap. Ianya bukanlah suatu aib, bahkan bukti jelas betapa luasnya pemikiran dan hebatnya peribadi seseorang.

Kita zaman ini, walaupun telah terbukti salah namun kerana ego yang menebal sanggup menegakkan benang yang basah daripada mengaku salah.

wallahua'lam.



Kisah Abu Jandal dan Abu Basyir Dalam Perjanjian Hudaibiyah


السلام عليكم





Pada tahun ke enam Hijrah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ingin berumrah  dan berziarah ke Makkah. Khabar ini kemudiannya diketahui oleh orang-orang kafir Makkah dan ini membuatkan mereka berasa terhina sehingga mereka merangcang untuk menghalang perjalanan Rasulullah di suatu tempat bernama Hudaibiyyah. Ketika itu Baginda bersama para sahabat telah bersiap sedia untuk mengorbankan jiwa dan raga ke jalan Allah subhanahu wa ta'ala. Namun demi kebaikan penduduk Makkah, Rasulullah tidak mahu terjadinya peperangan. Baginda berusaha mengadakan perjanjian dengan penduduk Makkah. Walaupun para sahabat telah bersedia untuk berperang, Nabi tetap mengadakan perjanjian dan menerima baik syarat-syarat yang mereka nyatakan. Hakikatnya para sahabat amat tertekan dengan perjanjian itu termasuklah Umar al-Khattab yang terkenal sebagai seorang yang gagah dan berani. Namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana jiwa dan raga mereka telah diserahkan untuk mentaati perintah Allah dan RasulNya. Mereka akur dengan perjanjian yang dilihat tidak menguntungkan umat Islam ketika itu. 

Antara isi kandungan perjanjian itu ialah orang-orang kafir yang telah memeluk Islam dan berhijrah harus kembali semula ke Makkah dan orang Islam yang murtad tidak akan dikembalikan kepada kaum Muslimin. Belum sahaja selesai perjanjian itu, seorang sahabat bernama Abu Jandal radhiallahu 'anhu yang telah ditahan, diseksa dan dirantai oleh orang kafir lantaran keislamannya tiba-tiba rebah saat mendengar isi perjanjian tersebut. Dia berharap dapat bersama kaum Muslimin dan bebas dari musibah yang dialaminya dahulu. Ayahnya yang bernama Suhail , ketika saat perjanjian itu masih belum memeluk Islam menampar Abu Jandal lalu memaksanya agar kembali ke Makkah. Beliau merupakan wakil orang kafir dalam perjanjian Hudaibiyah. 

Rasulullah lalu berkata, "Perjanjian belum diputuskan, maka belum ada apa-apa peraturan yang akan berlaku." Namun Suhail tidak mempedulikannya dan terus memaksa Jandal agar pulang ke Makkah. "Aku meminta agar ada seorang yang diserahkan kepadaku" kata Baginda. Namun kaum kafir menolak permintaan itu. Abu Jandal kemudian berkata kepada kaum Muslimin, "Aku datang untuk Islam kerana banyak penderitaan yang telah aku alami. Sayang sekarang aku akan dikembalikan lagi kepada kaum kaffir." Hanya Allah sahaja yang mengetahu betapa sedihnya sahabat ketika mendengar ucapa Abu Jandal itu. Atas nasihat Rasulullah, Abu Jandal kemudian bersedia untuk kembali ke Makkah. Baginda berusaha menghiburkan hatinya dan menyuruhnya agar tetap bersabar atas ujian itu kemudian bersabda: "Dalam waktu terdekat, Allah akan membuka jalan buatmu."

Setelah perjanjian Hudaibiyah selesai, seorang sahabat bernama Abu Basyir radhiallahu 'anhu melarikan diri ke Madinah setelah keislamannya. Kaum kuffar Makkah mengutus dua orang ke Madinah untuk membawanya pulang ke Makkah. Sebagaimana yang telah terkandung dalam perjanjian Hudaibiyah, maka Baginda memulangkan semula Abu Basyir kepada mereka lalu Abu Basyir berkata, "Ya Rasulullah, aku datang setelah menjadi Muslim, dan engkau mengembalikan aku kepada kaum kuffar?". Rasulullah menasihatinya agar bersabar lantas bersabda, "InsyaAllah, sebentar nanti Allah akan membukakan jalan bagimu." Akhirnya Abu Basyir dikembalikan ke Makkah bersama dua orang utusan tersebut.

Di tengah perjalanan, Abu Basyir berkata kepada seorang utusan tersebut, "Hai kawan, pedangmu bagus sekali." Disebabkan pujian tersebut, utusan itu merasa bangga lalu mengeluarkan pedangnya, "Ya. aku sudah membunuh ramai orang dengan pedang ini." sambil menunjukkan pedang tersebut kepada Abu Basyir. Apabila pedang itu berada di tangannya, dia lantas menebas pemilik pedang tersebut. Ketika utusan lain melihat temannya telah terbunuh, dia ketakutan dan berasakan bahawa dirinya juga akan menerima nasib yang sama lalu melarikan diri ke Madinah. Setibanya di hadapan Rasulullah utusan tersebut berkata, "Temanku telah dibunuh dan sekarang dia (Abu Basyir) ingin membunuhku pula."

Ketika itu juga Abu Basyir tiba di hadapan Baginda seraya berkata, "Ya Rasulullah, engkau telah memenuhi janjimu dengan mereka dan aku pun telah dipulangkan, namun aku tidak memiliki janji apa pun yang menjadi tenggungjawabku ke atas mereka. Ku lakukan semua ini kerana mereka berusaha mencabut agama Islam dariku." Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Kamu telah menyalakan api peperangan, kalaulah ada yang dapat membantumu.." Atas sabda itu, Abu Basyir dapat memahaminya iaitu jika ada kaum kafir yang mahu membawanya kembali ke Makkah selepas ini, ternyata dia akan dikembalikan. Akhirnya dia memutuskan untuk pergi ke sebuah tempat yang dekat dengan pantai. Berita ini sampai kepada penduduk Makkah termasuk Abu Jandal yang dikembalikan ke Makkah sebelumnya. Beliau kemudian melarikan diri ke tempat Abu Basyir termasuk dengan orang-orang Islam yang lain yang berada di Makkah. Mereka semua bergabung lalu menjadi sebuah kabilah kecil.

Kawasan disitu langsung tidak ada penghuni dan dikelilingi hutan sahaja. Hanya Allah sahaja yang mengetahui keadaan sebenar mereka disana. Namun mereka membuktikan bahawa mereka berjaya menenteng kaum kuffar yang menzalimi umat Islam dan bergabung membentuk suatu kumpulan yang kuat. Mereka berjaya mematahkan serangan dari kaum kafir yang cuba menyerang sehingga kaum kuffar itu berasa ketakutan yang akhirnya membawa kepada kelancaran perjanjian Hudaibiyyah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memanggil mereka kembali pulang melalui surat dan ketika surat itu sampai ke tangan Abu Basyir, beliau sedang menderita sakit parah lalu wafat bersama-sama surat Rasulullah di tangannya. (Diriwayatkan dalam Fath al-Bari fi Syarh Sahih Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalaini)

Pelajaran

Jika agama yang kuat berada pada diri seseorang dengan syarat agamanya benar, maka kekuatan apa pun yang menghalang tidak akan mampu melepaskan pegangan agama pada dirinya kerana Allah subhanahu wa ta'ala berjanji untuk menolong hamba-hambanya yang benar-benar beriman dan bertakwa.

[Hayatus Sahabah lil Syeikh Maulana Muhammad Zakariyya al-Khandalawi rahimahullah




والله أعلم بالصواب