Tampilkan postingan dengan label BERITA DUNIA. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label BERITA DUNIA. Tampilkan semua postingan

Aman Palestin: Laman Web Pembela Palestin Terbaik Malaysia


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Agak lama saya tidak menulis berkaitan dengan isu semasa, perkembangan dunia dan penulisan santai separa ilmiah. Kebelakangan ini masa untuk menulis digunakan sepenuhnya untuk berkongsi ilmu dengan penuh ilmiah dan bermanfaat. Sedaya upaya juga diri ini menulis berdasarkan ilmu, kemampuan diri dan masa yang ada. Tambahan penulisan saya tidaklah terlalu berat untuk difahami kerana seboleh mungkin saya cuba menggunakan struktur ayat yang mudah dan ringkas agar mesej daripada penulisan saya ini dapat difahami sebaiknya. 

  Terpanggil untuk mengimbangi penulisan saya dengan sesuatu yang lebih ringan dan santai, maka saya mendapat idea untuk mewujudkan sebuah topik baru iaitu Jejak Maya dan Palestin. Jejak Maya khusus untuk saya memberi komentar, pandangan, idea, kritikan dan sebagainya terhadap mana-mana laman web atau blog yang saya kunjungi manakala topik Palestin pula khusus untuk saya muatkan pernulisan dan makalah (Artikel) berkaitan dengan Palestin kita. 

  Dan untuk itu, penulisan kali ini menggabungkan kedua-dua topik tersebut kerana kebetulan terlintas di minda saya untuk menulis tentang sebuah laman web yang menurut saya cukup baik, bagus dan bermanfaat. Laman yang saya maksudkan ialah:



Laman ini adalah sebuah web milik sukaralewan Malaysia yang menumpukan kerja-kerja amal seperti menghantar bantuan kewangan, makanan, pakaian dan pelbagai pertolongan yang mampu daripada rakyat Malaysia kepada saudara segama kita di Palestin. 


Profil Aman Palestin


   Pembentukan Negara Haram Israel pada 15 Mei, 1948 di bumi Palestin 64 tahun lalu telah mengundang malapetaka besar di mana dunia mulai menyaksikan kekejaman rejim Zionis memalui pertempuran demi pertempuran yang mengakibatkan beribu-ribu warganegaranya gugur syahid, jutaan pelarian yang meninggalkan tanahairnya sendiri berhadapan masalah pengangguran dan cacat anggota. Tidak kurang juga anak-anak menjadi yatim kerana kehilangan ibubapa dan isteri menjadi janda kerana kehilangan suami yang terkorban mempertahankan Palestin dari terus dijajah dan dicabuli.
Penderitaan dan kesengsaraan berpanjangan yang ditanggung rakyat Palestin menjadi satu keinsafan bagi umat Islam menghulurkan bantuan.
Justeru itu, Aman Palestin sebagai Inisiatif Keamanan Palestin bergerak atas tiga landasan iaitu:
  1. Kemanusiaan
  1. Persaudaraan
  1. Kesucian Baitul Maqdis

Aman Palestin memberi bantuan kecemasan, kebajikan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestin secara berterusan sehingga selesai. Aman Palestin mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Aman Palestin sentiasa berusaha memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat Malaysia tidak sahaja sampai malah kesemua bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin di Palestin.
Pada 3hb. Januari 2006, pendaftaran Aman Palestin telah diluluskan secara rasmi dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama AMAN PALESTIN BERHAD sebagai sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan (non-profit organisation) bagi membantu rakyat Palestin secara kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.
Semenjak ditubuhkan, Aman Palestin telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk projek-projek kepada rakyat Palestin di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan dan sumbangan daripada orang ramai.  Diharapkan agar keperihatinan yang berterusan oleh rakyat Malaysia dalam menyalurkan bantuan dapat memberikan sinar harapan dan membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin. 
Dipetik daripada Profil Aman Palestin ; http://www.amanpalestin.net/salam.php?kategori=profil


Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga Aman Palestin, anda boleh berbuat demikian dengan menjadi ahli menerusi laman ini. Cuma klik pada ruangan Daftar Ahli, dan anda boleh memilih untuk mendaftar sebagai ahli biasa Aman Palestin mahupun sebagai Sukarelawan Aman Palestin. Kedua-duanya mempunyai perbezaan dari sudut sumbangan keahlian dimana Sukarelawan lebih khusus bantuan dan gerak-kerjanya berbanding ahli biasa. 




Anda juga boleh menyumbang derma dengan mudah melalui Aman Palestin. Tidak perlu lagi ke pejabat Aman Palestin, kini semuanya dihujung jari anda sahaja, insyaAllah. 




Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai isu yang berkaitan dengan konfik yang berlaku di Palestin dengan mengambil sedikit masa membaca buku yang dimuatkan diruangan Maktabah berjudul Eye Of Palestin. InsyaAllah banyak manfaat dan ilmu baru yang akan kita perolehi darinya. 

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengimarahkan dan menjadi ahli berdaftar bersama Aman Palestin sebagai tanda sokongan dan usaha untuk membantu membela nasih saudara mara kita disana. Walaupun ia tampak kecil dan mudah dimata manusia, kita mengharapkan ia menjadi amalan yang besar dan mulia disisi Allah subhanahu wa ta'ala insyaAllah. Saranan saya, luangkan sedikit masa untuk menjenguk dan mengenali lebih dekat dengan Aman Palestin, insyaAllah kita akan mendapati betapa mulianya perjuangan dan usaha mereka ini. Dan kita turut membantu sekadar yang termampu. 

Moga Allah permudahkan usaha kita semua dan meredhainya, amin. 


والله أعلم بالـصـواب 

Akhlak Mulia Faktor Islam Berkembang Di Eropah



السلام عليكم





SELEPAS tragedi runtuhan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001, sentimen dan fenomena Islamofobia masyarakat barat menghantui umat Islam. Laporan berita negatif selain memomokkan Islam sebagai ‘pengganas’ menyebabkan imej Islam tercalar teruk.  Beberapa serangan dan peperangan dilancarkan terutama ke atas Iraq dan Afghanistan, kononnya mahu mengembalikan keamanan dunia. 

Namun, Islamofobia terutama di Eropah sudah berubah kerana seruan serta syiar Islam bersinar di mana-mana. Jangan terkejut, jika ramai penganut Kristian dan agama lain memeluk Islam di seluruh Eropah setiap hari. Kebanyakan Muslim di Eropah bertumpu di bandar besar seperti London, Bradford di United Kingdom, Rotterdam, Amsterdam di Belanda, Paris, Perancis dan Copenhagen, Jerman.  Benarlah, jika usaha dakwah dilakukan dengan penuh ikhlas lambat laun pasti akan membuka pintu hidayah golongan yang dipilih Allah itu menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Alhamdulillah, siapa sangka, dalam keadaan Islam di Eropah yang ditekan dan laporan berita negatif, Islam terus berkembang seperti cendawan selepas hujan. Malah, nilai sosial masyarakat tempatan mulai berubah. Fenomena penerimaan Islam di Eropah menjadi bukti kukuh Kristian semakin terancam.  Di England, beberapa gereja diambil alih pengurusannya dan dijadikan masjid. Ada kalangan masyarakatnya yang memeluk Islam kuat jihadnya berusaha mencari dana membeli tapak gereja untuk dijadikan masjid.

GEREJA TUKAR MASJID...Masjid Didsbury di Manchester antara gereja yang dijadikan masjid. 

Walaupun kerajaan Britain mengharamkan pembelian gereja kerana sedar rumah ibadat Kristian kian hilang fungsinya, ia terus memberi semangat kepada mujahid baru di Eropah. Kini, kubah masjid menenggelamkan menara gereja yang menjadi petunjuk keyakinan baru umat Islam manakala gereja semakin terbiar. Jika dulu umat Islam terpaksa menunaikan solat secara rahsia di bilik gelap di bawah bangunan kerana bimbang dicemuh dan dihalang, kini mereka bebas sembahyang di mana-mana saja tanpa gangguan.

Itu antara catatan kembara Pengarah Bahagian Dakwah, Professional Islamic Support And Nurture Group (Pisang), Ustaz Halim Din mengenai kesuburan Islam di Eropah termasuk England, Perancis, Jerman, Switzerland, Itali dan Belanda. Beliau berkata, Pisang adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di Bicester, England bagi misi dakwah di Eropah.

“Sejak ditubuhkan pada 2008, kami menawarkan serta menyediakan perkhidmatan kepada sesiapa saja tanpa mengira agama, usia, jantina atau bangsa. “Perkembangan dan penerimaan Islam cukup memberangsangkan. Buktinya, semakin banyak masjid dibina dan setiap hari ada mengucap dua kalimah syahadah. “Di Perancis, ada 10 juta umat Islam dari 65 juta penduduknya. Lebih 2,000 masjid dibina, malah di Paris ada 300 masjid,” katanya.

Halim berkata, pelbagai pendekatan dakwah dijalankan di Perancis salah satunya ialah melalui dakwah di penjara. “Hasil dakwah bersama Presiden Pusat Tauhid Perancis, 65 peratus daripada banduan memeluk Islam. “Jika mengambil kira perkembangan positif itu, tidak mustahil sasaran menjadikan Perancis negara Islam pada 2050 akan menjadi realiti,” katanya.

Menurutnya di Belanda pertubuhan Islamnya terbukti kuat, berkesan dan lebih diyakini.

“Buktinya, pertubuhan Islam itu pernah mengutuskan surat jemputan majlis berbuka puasa ke pejabat kerajaan. Hasilnya lebih lebih 3,000 jemputan hadir. “Akhlak umat Islam yang ramah dan pekerti terpuji menambat mereka untuk mendekati dan memeluk Islam,” katanya.

Halim juga dimaklumkan pensyarah di Universiti Islam Eropah bahawa setiap minggu ramai anak gadis datang berjumpa pensyarah itu untuk berkongsi masalah. “Ramai ingin tahu rahsia keharmonian rumah tangga. Dan, di pertemuan itu, kalimah syahadah diungkapkan dan dihuraikan maknanya sehingga mereka menitiskan air mata. “Kaedah dakwah seperti menjalankan kerja amal perlu dipertingkat dan diperkemaskan lagi dalam usaha mendekati masyarakat kepada Islam,” katanya.

Malah katanya Presiden Pisang, Hamidi Abdul Rahman pernah dijemput dan ditemuramah stesen televisyen satelit Manchester, DM Digital TV pada 2008 melalui saluran Islamnya menghurai isu keganasan, pendidikan dan masyarakat. 

“Program selama setengah jam itu disertai dua wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Pengarah Institut Tamadun Islam, Prof Datuk Dr Yusof Othman dan Profesor Dr Abdul Latif Samian,” katanya. 

Menurutnya, Pisang turut mengadakan klinik bergerak bagi menjalankan pemeriksaan dan rawatan sihir dan gangguan jin di Manchester, Birmingham dan Aberdeen. “Objektif utama kami ialah menggalakkan kaedah terapi al-Quran kerana ada penyakit berpunca daripada jin. “Kami turut mengadakan khidmat kaunseling kepada masyarakat yang bermastautin di United Kingdom selain mengurus soal perkahwinan, penderaan kanak-kanak, tekanan perasaan, kemurungan, homoseksual dan lesbian,” katanya.

Katanya, Pisang turut membimbing serta menyelamatkan genius Matematik dan bekas penuntut di Universiti Oxford, Sufiah Yusof yang pernah melalui detik hitam kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. 

“Alhamdulillah, Sufiah kini pulih dan insaf sepenuhnya dan kini memberi motivasi kepada mereka yang datang ke Rumah Pisang,” katanya. 

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, Pisang merancang beberapa aktiviti dakwah di Eropah, antaranya Himpunan Belia Islam SeEropah pada 2 hingga 11 Mei ini. “Kami menjangka lebih 200 peserta dari seluruh Eropah akan hadir ke program itu yang dimeriahkan dengan ceramah dan qiamullail,” katanya.

p/s- Kadang kala umat Islam di Barat dan para muallaf yang baru mengenal Islam jauh lebih cinta dan mengambil berat akan Islam berbanding kita yang sudah sekian lama berstatus Islam, renung dan hisab kembali keislaman kita.



والله أعلمُ بالـصـواب

Derita Penduduk Syria


السلام عليكم





Basma Jandali, kelahiran Syria terpaksa mengharungi hari-harinya dengan rasa tidak tenang kerana khuatir akan keselamatan ahli keluarganya di Homs walaupun dia tidak berada di negara itu. Saudaranya dipercayai masih terperangkap di Homs, di mana pasukan keselamatan Presiden Bashar al-Assad telah membunuh ratusan orang sejak awal minggu lalu. Namun, kini dia tidak lagi diselubungi kebimbangan selepas mendapat khabar saudaranya antara yang bertuah dan terselamat daripada menjadi mangsa kekejaman rejim Assad.

Ratusan ribu penduduk masih terperangkap di kediaman mereka di Homs, sebuah bandar yang secara tiba-tiba didatangi puluhan penembak hendap dan tentera bersenjata. Mereka bertindak kejam dengan melancarkan serangan terhadap rumah dan klinik di kejiranan tersebut, sekali gus, keadaan dramatik itu telah mula mengubah rentak kehidupan penduduk sekitar. Ibu bapa terpaksa menghalang anak masing-masing dari pergi ke sekolah kerana khuatir dengan keselamatan mereka. Penduduk di kawasan kejiranan di Homs kini mendapat bekalan makanan mereka melalui penghantaran tepung dan gula yang diberikan oleh aktivis pada waktu malam.

Mereka yang berjaya menyusup keluar pada waktu malam pula terpaksa mengambil risiko melalui jalan mencabar seperti melompat tembok hanya kerana mahu mengelakkan pemeriksaan di pusat kawalan pihak berkuasa. Kebanyakan penduduk di Syria hidup menderita kerana terpaksa menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pelbagai barang keperluan asas dan bekalan ubatan. Aktivis Syria yang menentang rejim Assad, Dima Moussa berkata, tindakan mudah dengan hanya membuka pintu rumah mungkin boleh menjadi perkara terakhir dilakukan dalam hidup penduduk di Homs.

“Kerajaan terus menuduh pengganas sebagai dalang di sebalik keganasan yang tercetus sejak 11 bulan lalu di Syria. Namun, rakaman video dari petugas media tempatan yang disampaikan kepada dunia luar pula membuktikan dakwaan itu adalah tidak benar,” menurutnya.

Seorang lagi aktivis, Mohamad al Homsy menyatakan dia mula merasakan keadaan di Homs semakin meruncing selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya. “Isteri saya memberitahu, anak perempuan kami yang berumur enam tahun seakan trauma apabila mendengar bunyi bedilan. Cuba anda bayangkan seorang kanak-kanak melukis kereta kebal dan api bersama potret keluarga, seolah-olah untuk menggambarkan perasaan takutnya,” katanya lagi. Seorang doktor yang pernah tinggal di Homs sebelum berpindah ke Detroit, Malaz Alatassi menyatakan keluarga dan rakannya mendedahkan sangat sukar untuk keluar mencari bekalan makanan pada masa ini.

“Jika menghampiri tingkap, anda seakan menempah maut kerana bakal menjadi sasaran penembak hendap!” menurutnya.

Ada penyeludup dan aktivis sanggup menggadai nyawa untuk menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk yang bersembunyi di dalam rumah mereka walaupun ada dalam kalangan mereka terkorban. Alatassi turut menyatakan kebimbangan kerana tiada pusat psikiatri untuk membantu penduduk yang menghadapi tekanan. “Ramai yang memilih untuk menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran memandangkan kebanyakan penduduk di Syria adalah orang Islam. Apa yang patut dilakukan pada masa ini adalah berdoa kepada Allah SWT agar mimpi ngeri tersebut akan berakhir,” menurut Jandali yang kini menetap di New Jersey. Ketakutan turut menyelubungi penduduk di kawasan lain di Syria.

“Penduduk yang mati syahid dan cedera tetap dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga kami,” menurut Abu Omar, seorang penduduk di wilayah Quneitra di selatan Syria. Omar mendakwa minyak, makanan dan ubat sangat sukar untuk diperoleh kerana kebanyakan hospital kekurangan bekalan serta peralatan. “Seluruh penduduk kini saling membantu dan bergantung antara satu sama lain. Kami masih lagi tidak dapat mengetahui nasib saudara-mara yang hilang,” katanya. Aktivis Barat, Yasmeen pula mendakwa kebanyakan saudaranya terpaksa berhenti sekolah dan meninggalkan pekerjaan mereka.

“Kerajaan dilihat sengaja menggunakan kekerasan untuk menundukkan pembangkang dan penunjuk perasaan anti-Assad. Kekejamannya telah menyebabkan penduduk hidup sengsara dan ramai terkorban,” jelas aktivis itu lagi. Selepas kegagalan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk keganasan di Syria pada minggu lalu, pasukan tentera didakwa telah melancarkan serangan lebih ganas di Homs. Mereka kini menggunakan helikopter dan pesawat pejuang untuk melakukan serangan serta tembakan bertalu-talu ke arah rumah penduduk di kawasan Baba Amr. Dianggarkan kira-kira 60 peratus rumah di kawasan itu telah musnah akibat dibedil pasukan keselamatan Assad.

“Tiada lagi bekalan elektrik dan sambungan Internet melainkan Thuraya (telefon bimbit satelit) yang boleh digunakan sebagai alat penghubung. Hospital juga sudah kehabisan ubat-ubatan dan mereka sangat memerlukan bekalan oksigen pada masa ini,” menurut penduduk yang hanya menggelarkan dirinya sebagai Aslan. Keganasan yang semakin tidak terkawal di Syria menyebabkan banyak pihak mula mempertikaikan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan hak asasi manusia antarabangsa yang dilihat hanya berani bersuara di media untuk meredakan kekacauan di Syria tanpa mengambil tindakan sewajarnya.




والله أعلمُ بالـصـواب

Coklat Unik Perisa Serunding Daging Dan Jamu




السلام عليكم



JAKARTA - Coklat rasa cabai yang pedas, rasa jamu dan rasa serunding daging mungkin kedengaran aneh tetapi ia telah ada di pasaran Indonesia. Sebagai tarikan, coklat keluaran beberapa industri kecil dan sederhana di republik itu menggunakan jenama berciri tempatan seperti 'Monggo', 'Coklat Tolak Miskin' dan 'Sesuwatu Banged', demikian dilaporkan akhbar mingguan Kompas, Ahad.

Kreativiti pengeluar dalam mempromosi ciri-ciri tempatan turut kelihatan dalam pemasarannya seperti iklan yang memaparkan sepasang nenek dan datuk dari sebuah kampung yang sedang tertawa sambil menggenggam sebatang coklat berjenama tempatan di tangan. Laporan itu menyebut coklat berjenama Monggo keluaran Kotagede, Yogyakarta misalnya yang dimulakan sejak tahun 2003, mengeluarkan coklat rasa cabai dan halia, dan dianggap perintis dalam perusahaan coklat berciri tempatan yang berkualiti baik. Keluaran Monggo kini mencapai lima tan coklat sebulan dengan hasil jualan berjumlah Rp5 bilion setahun.

Sementara itu perusahaan coklat di Garut, Jawa Barat yang dimulakan pada 2009 mengeluarkan coklat dengan nama 'Chocodot' iaitu gabungan kata coklat dan dodol yang merupakan penganan khas Garut. Chocodot memadukan coklat dengan dodol, aneka biji kopi nusantara, kurma hingga serunding daging dan serunding ikan. Sambutan hangat terhadap Chocodot oleh pelancong yang melawat Garut telah mendorong pengusaha lain untuk mengikuti jejaknya seperti Coklat Roslyn keluaran Restoran Cibiuk dan Chocdol keluaran pengusaha Dodol Picnic.

Coklat Roslyn misalnya memadukan coklat dengan 'kremes' iaitu penganan goreng yang dibuat daripada parutan ubi keledek dan gula, manisan buah-buahan, hingga kerepek jagung. Di Yogyakarta juga, pendatang terbaru pada akhir tahun 2010 ialah 'Coklat Roso' yang mengeluarkan coklat rasa jamu seperti beras kencur, kunyit dan gula asam. Ramuan jamu dan cabai yang membentuk ciri tempatan dalam coklat itu, bukanperisa tiruan tetapi daripada bahan asli, misalnya halia segar yang telah dijadikan manisan terlebih dahulu sebelum digunakan untuk pembuatan coklat itu, kata laporan itu.- Bernama



p/s- anda semua mahu makan jika diberi peluang?