Tampilkan postingan dengan label Akhlak. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Akhlak. Tampilkan semua postingan

Kesalahan Ibu Bapa Menipu Anak Kecil


 
"Adik, tolong ambilkan air untuh abah..."
*Buat tak tahu sebab khusyuk tengok upin ipin..
"Kalau adik ambilkan, abah bagi adik coklat cadbury yang adik suka.."
"Wahhh..adik dah lama tak makan coklat tu!"
Lalu anak kecil itu pergi ke dapur dan membawakan segelas air.
"Nah airnya, bak coklat adik..."
"Ahhh..lega tekak abah, coklat adik tu takde sekarang..nanti abah belikan ye."
"Alaaaa...ingatkan ada!" rungut anaknya sambil menarik muka tanda tidak puas hati. Dia kemudiannya kembali menonton televisyen. 
..........
Selalu situasi ini berlaku dan kita lakukan kepada anak kecil bukan? Kita menggunakan helah dan hadiah untuk menyuruh mereka melakukan sesuatu. Perbuatan beri upah ini tiada salahnya, tapi tahukah anda jika anda tidak memberi apa yang anda katakan bermakna anda telah menipunya dan perbuatan menipu kanak-kanak termasuk salah satu dosa.

Ya, dosa yang orang ramai terlepas pandang . Yang selalu ibu bapa & orang dewasa lakukan.
Dalam hadith riwayat Abu Daud, Abdullah bin Amir pernah dipanggil oleh ibunya untuk diberikan sesuatu lalu Nabi bertanya kepada ibu Abdullah bin Amir apakah yang akan dia berikan kepada anak kecil itu.. Wanita itu menjawab kurma. Kemudian Baginda memberi peringatan, jika dia tidak memberikan kepada anaknya, maka dia dikira berdusta.

Dalam hadith riwayat Ahmad, baginda mengatakan:

من قال لصبي تعال هاك ثم لم يعطه فهي كذبة
"Sesiapa yang mengatakan kepada budak kecil 'Kesini, ambil ini' kemudian dia tidak memberikannya maka dia dikira berdusta.
Sebahagian orang menipu kanak-kanak kerana mereka biasanya tidak menuntut kembali janji itu sedangkan hakikatnya perbuatan ini meletakkan pelakunya dalam perbuatan menipu. [Al-Dhiya' al-Lami' min al-Khutab al-Jawami' 7/514]

Islam menyuruh agar menanam sifat jujur dan benar dalam diri kanak-kanak sehingga mereka menjadi sama seperti itu dan itu semua disampaikan melalui perbuatan dan percakapan. [Mausu'ah al-Akhlaq al-Islamiyyah 1/342]

Buat ibubapa dan sekalian orang dewasa, mari kita tanam dalam diri kita selepas ini:
  •  Menipu budak-budak sama seperti menipu orang dewasa.
  • Janji dengan budak-budak pun perlu ditunaikan. Jangan beri janji palsu.

Beginilah Islam mengajar kita bergaul dengan kanak-kanak.
wallahua'lam.
..........
Ad-Dien Abdul Kadir
17/03/2017_Jumaat
telegram.me/addien90


Nasihat Emas Fudhail bin Iyadh Berkaitan Beban Jawatan



Fudhail bin Iyadh pernah memberikan nasihat kepada Harun Al-Rashyid sewaktu beliau dilantik menjadi Khalifah ummat Islam. Khalifah Harun Al-Rasyid berkata:

“Ketika Umar bin Abdul Aziz r.a. menjadi khalifah (Bani Abbasiyah), dia pernah mengundang Salim bin Abdullah bin Umar r.a., Muhammad bin Kaab Al-Qurzhi, dan Raja’ bin Haiwah. Umar bin Abdul Aziz berkata kepada mereka, “Sesungguhnya aku sedang diuji dengan musibah ini (jabatan kekhalifahan). Oleh itu, berilah saranan dan nasihat kepada saya!”

Berkata Fudhail ibn Iyadh kepada Khalifah Harun al-Rasyid, “Dahulu, Umar bin Abdul Aziz menganggap jawatan khalifah sebagai musibah. Sementara kamu dan para pegawaimu menganggapnya sebagai nikmat dan anugerah.”

Berkata Fudhail bin Iyadh, “wahai Amirul Mukminin (Harun Al-Rasyid) ! Ketika Abbas bin Abdul Mutthalib radhiallahu 'anhu.,iaitu bapa saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menghadap baginda meminta jawatan seraya berkata, “Wahai Rasulullah, berikanlah jawatan kepadaku!”

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :“Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah! Nyawa yang kamu selamatkan adalah lebih baik daripada jawatan yang tidak dapat kamu pertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jawatan itu akan menjadi bahan penyesalan dan kerugian besar pada hari kiamat kelak. Jika kamu mampu untuk tidak menjadi pemimpin terhadap seseorang, maka lakukanlah!”

Harun Ar-Rasyid pun lalu menangis dengan teruk sekali semahu-mahunya.

Berkata sebahagian salaffussoleh:

"Manusia di akhirat kelak akan dihisab tentang diri mereka, tetapi kamu wahai pemimpin, akan dihisab tentang diri kamu dan semua yang berada dibawahmu! ".

Kisah ini dimuatkan di dalam Tarikh Ad-Dimasyq oleh Imam Ibn Asakir rahimahullah dan Tarikh Al-Bagdad oleh Imam Khatib Al-Baghdadi.

Dalam keghairahan duduk di jawatang yang tinggi, ingatlah beban yang berat di akhirat sedang menanti.


Tulisan asal di Facebook:

Adab-Adab Penuntut Ilmu أدب طلب العلم (Siri 1)




السلام عليكم




Mukaddimah


Ilmu merupakan suatu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya. Ilmu bagaikan cahaya yang menyinari pemiliknya. Ia mengangkat darjat dan martabat pemiliknya yang ikhlas dalam mencari, memiliki dan ikhlas kepadanya. Islam sendiri mengakui peri pentingnya peranan ilmu dalam kehidupan ummah di dunia ini. Ilmu yang benar adalah sesuatu yang mulia bahkan ia turut memuliakan orang yang memegangnya. Maka beruntunglah orang-orang yang berilmu.

Dalam mencari dan menguasai lautan khazanah ilmu Ilahi, maka seorang penuntut ilmu hendaklah mengetahui lalu mengamalkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Ia merupakan suatu kewajiban sejak dari dahulu lagi. Dari zaman para sahabat, tabiin, tabiit tabiin, para salafussoleh serta orang yang mengikut jejak langkah mereka sehingga kini. Hari ini adab-adab semakin kurang diberi perhatian, apatah lagi diamalkan. Para pelajar dan pengajar saling tidak mementingkan adab-adab dalam majlis ilmu. Ia bukanlah sesuatu yang bersifat menyeluruh kerana disebalik itu masih ada mereka yang mementingkan adab-adab dan cuba sedaya upaya mengamalkannya meskipun sukar dan tidak sempurna. Namun usaha ini haruslah dipuji dan dijadikan tauladan buat semua.

Jika ilmu merupakan ibadah dalam hati dan sanubari, maka kuncinya seorang tolibul ‘ilm (penuntut ilmu) haruslah menguasai adab-adab kemudian berusaha sedaya mungkin untuk mengamalkannya dalam halakah ilmu yang disertainya. Jika tidak, ilmu itu akan menjauhi para penuntutnya seperti timur yang jauh dari barat sebagaimana yang disebut dalam sebuah syair:

Ia berjalan menuju timur,
Sedangkan aku berjalan menuju barat,
Semakin jauh jarak antara yang menuju ke timur dan ke barat.


Ilmu bukanlah sesuatu yang biasa dan remeh-temeh. Bagi mereka yang diberikan kesedaran, pasti akan mengagungkan ilmu-ilmu yang ada dimuka bumi ini. Apatah lagi ilmu yang berkaitan dengan agama yang memandu kehidupannya di dunia ini untuk dibawa menuju ke negeri yang kekal abadi bernama akhirat. Ilmu merupakan pengetahuan yang memberikan bayan (penjelasan) dan maklumat kepada pemiliknya. Sedangkan tujuan penjelasan dan maklumat itu adalah untuk mentauhidkan Allah serta beribadah kepadaNya dengan penuh ketaatan dan keyakinan.

Barangsiapa yang menyibukkan diri dalam menuntut, mengembangkan, serta menyebarkan ilmu sama ada pelajar mahupun pengajar, maka hendaklah ia mengikuti prinsip-prinsip tauhid dan ibadah yang telah ditekankan oleh syarak secara menyeluruh tanpa mengetepikannya apatah lagi merendah-rendahkan keutamaannya. Disebabkan itu, adab-adab dalam menuntut ilmu ini kekal dan tidak boleh ditinggalkan oleh penuntut ilmu buat selama-lamanya. Ia merupakan asas sebelum menuntut ilmu dan menjadi asas bagi sekalian ilmu.


Ikhlaskan Diri Kerana Allah subhanahu wa ta’ala


Ikhlas merupakan elemen terpenting dalam melakukan segala sesuatu pekerjaan. Bahkan ia juga amalan hati yang utama sebelum sesuatu perkara itu dilakukan. Ikhlas dan niat merupakan dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Melalui niat, seseorang itu akan dinilai perbuatannya oleh Allah azzawa jalla sama ada ikhlas kerananya atau tidak. Disitulah pucuk pangkal segala perbuatan, sama ada baik atau buruknya, ikhlas atau riak, dan seumpamanya.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله. ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو إلى امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه.

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi seseorang ialah apa yang ia niatkan. Barangsiapa hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang ia niatkan. (Hadis Sahih,Muttafaq’alaihi)


Berkata Al-Ghazali rahimahullah :

“Ketahuilah bahawa niat, keinginan dan tujuan adalah ungkapan yang muncul dari satu makna, iaitu keadaan dan kecenderungan hati yang dipengaruhi oleh dua perkara iaitu ilmu dan amalan.”

Ilmu itu mendahului amalan kerana ia merupakan asas dan syarat dalam melakukan sesuatu amalan. Sebaliknya amal itu mengikut ilmu kerana amalan adalah buah atau hasil daripada ilmu tersebut. Segala sesuatu pasti tidak akan sempurna melainkan atas tiga perkara ini iaitu ilmu, iradah (keinginan) dan qudrah (kemampuan). Jika salah satu daripadanya tiada, maka cacatlah perbuatan yang ingin dikerjakan. Oleh itu, penggerak utama ialah niat yang juga disebut tujuan sekaligus pendorong dalam melakukan sesuatu perkara. [Tahzib Ihya’ Ulumuddin]

Di dalam syariat Islam, telah dijelaskan bahawa Allah subhanahu wa ta’ala tidak menerima sesebuah amalan itu melainkan dengan niat yang ikhlas keranaNya. Hal ini bersifat menyeluruh termasuklah dalam menuntut ilmu. Kerana ilmu yang benar itu akan hadir pada hati-hati insane yang ikhlas menggapai keredhaanNya seterusnya mengharapkan manfaat yang baik dari ilmu yang dipelajarinya. Apabila niat penuntut ilmu itu ikhlas, maka ia akan mendekatkan diri dengan Allah subhanahu wa ta’ala dan sekiranya ia bukan keranaNya, maka Allah akan menghapuskan atau mengurangkan nilai-nilai di dalam ilmu tersebut sehingga ia lenyap dari hati penuntutnya. [Tazkiratul As-Sami’ wa Al-Mutakallim]

Berkata Abu Yusuf rahimahullah :

“Tunjukkanlah ilmumu kepada keredhaan Allah subhanahu wa ta’ala. Sesungguhnya aku tidak pernah menghadiri suatu majlis ilmu sehinggalah aku berniat untuk bertawadduk (rendah diri) dan memuliakan mereka. Dan aku juga tidak pernah mendatangi majlis yang disana aku berniat untuk memuliakan mereka kecuali aku akan tetap tinggal hingga aibku terbuka.”

Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk berdebat dengan ulama’ dan bermegah dengan orang-orang jahil atau pun untuk memalingkan wajah manusia kepada dirinya (mendapat perhatian manusia), maka ia di neraka.” (Riwayat Ibnu Majah, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih al-Tarhib wa al-Targhib)




والله أعلمُ بالـصـواب

Adab dan Akhlak Terhadap Haiwan



السلام عليكم


Haiwan atau binatang merupakan makhluk Allah yang diciptakan bagi melengkapi kehidupan manusia. Melaluinya manusia mendapat pelbagai manfaat dan kebaikan. Bintang yang diciptakan Allah begitu banyak jenis dan spesiesnya. Ada yang hidup di darat, ada di lautan bahkan ada yang hidup di kedua-duanya. Bintang juga makhluk Allah yang diberikan nyawa dan mempunyai perasaan, hanya sahaja ia tidak memiliki akal fikiran seperti manusia yang diciptakan untuk menjadi khalifah Allah s.w.t di muka bumi. 

Antara adab-adab dan akhlak yang perlu diamalkan terhadap haiwan dan binatang ialah:


1. Memberinya makan dan minum apabila haiwan itu lapar dan haus, kerana Rasulullah s.a.w bersabda :

"Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) itu terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadaNya)" (Riwayat Bukhari no. 2363)

"Barangsiapa yang tidak belas kasihan nescaya dia tidak akan dibelaskasihani" (Riwayat Bukhari no.5997, Muslim no. 2318)


ارحموا من فى الاض ير حمكم من فى السماء

"Kasihanilah siapa yang ada di bumi ini, niscaya kalian dikasihani oleh yang ada di langit" (Riwayat At-Tirmizi no.1924)


2. Menyayangi dan kasih sayang kepadanya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika para sahabatnya menjadikan burung sebagai sasaran memanah.


لعن الله من اتخذ شيئا فيه روح غر ضا

"Allah melaknat orang yang menjadikan sesutu yang bernyawa sebagai sasaran" (Riwayat Bukhari no. 5515, Muslim no.1958, Ahmad no. 6223)

Beliau juga telah melarang mengurung atau mengikat binatang ternak untuk dibunuh dengan dipanah/ditombak dan sejenisnya, dan karena beliau juga telah bersabda.

"Siapakah gerangan yang telah menyakiti perasaan burung ini karena anaknya? Kembalikanlah kepadanya anak-anaknya". Beliau mengatakan hal tersebut setelah beliau melihat seekor burung berputar-putar mencari anak-anaknya yang diambil dari sarangnya oleh salah seorang sahabat" (Riwayat Abu Daud : 2675 dengan sanad sahih)


3. Menyenangkannya di saat menyembelih atau membunuhnya, karena Rasulullah s.a.w telah bersabda,:

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan (berbuat baik) atas segala sesuatu, maka apabila kalian membunuh hendaklah berlaku ihsan di dalam pembunuhan, dan apabila kalian menyembelih hendaklah berlaku baik di dalam penyembelihan, dan hendaklah salah seorang kamu menyenangkan sembelihannya dan hendaklah ia mempertajam mata pisaunya" (Riwayat Muslim :no.1955)


4. Tidak menyeksanya dengan cara penyeksaan apapun, atau dengan membuatnya kelaparan, memukulinya, membebaninya dengan sesuatu yang ia tidak mampu, menyiksanya atau membakarnya, karena Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam telah bersabda : 

"Seorang perempuan masuk neraka karena seekor kucing yang ia kurung hingga mati, maka dari itu ia masuk neraka karena kucing tersebut, disebabkan ia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum di saat ia mengurungnya, dan tidak pula ia membiarkannya memakan serangga di bumi" (Riwayat Bukhari no.3482)

Ketika beliau berjalan melintasi sarang semut yang telah dibakar, beliau bersabda.


انه لاينبغى أن يعذ ب بالنار الا رب النار

"Sesungguhnya tidak ada yang berhak menyiksa dengan api selain Rabb (Tuhan) pemilik api" (Riwayat Abu Daud no.2675)


5. Boleh membunuh haiwan yang mengganggu, seperti anjing buas, serigala, ular, kalajengking, tikus dan lain-lainnya, karena beliau telah bersabda:

" Ada lima macam haiwan fasik yang boleh dibunuh di waktu halal (tidak ihram) dan di waktu ihram, yaitu ular, burung gagak yang putih punggung dan perutnya, tikus, anjing buas dan rajawali" (Riwayat Muslim no.1198). Juga ada hadits sahih yang membolehkan membunuh kalajengking dan mengutuknya.

6. Boleh memberi wasam (tanda/cap) dengan besi panas pada telinga binatang ternak yang tergolong na'am untuk maslahat, sebab telah diriwayatkan bahwasanya Nabi Muhammad s.a.w memberi wasam pada telinga unta sadaqah dengan tangan beliau yang mulia. Sedangkan haiwan lain selain yang tergolong na'am (unta, kambing dan sapi) tidak boleh diberi wasam, sebab ketika Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam melihat ada seekor keledai yang mukanya diberi wasam beliau bersabda, "Allah mengutuk orang yang memberi wasam pada muka keledai ini" (Riwayat Muslim no.2117)

7. Mengenal hak Allah pada haiwan, yaitu menunaikan zakatnya jika hewan itu tergolong yang wajib dizakati.

8. Tidak boleh sibuk mengurus haiwan hingga lupa taat dan zikir kepada Allah. Sebab Allah telah berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi" (Al-Munafiqun : 9)

Rasulullah s.a.w pun telah bersabda berkenaan dengan kuda : "Kuda itu ada tiga macam. Kuda bagi seseorang menjadi pahala, kuda bagi seseorang menjadi pelindung dan kuda bagi seseorang menjadi dosa. Adapun kuda yang mendatangkan pahala adalah kuda seseorang yang dipangkal untuk fisabilillah, ia banyak berdiam di padang rumput atau di taman. Maka apa saja yang dimakan oleh kuda itu selama dipangkal di padang rumput atau di taman itu, maka pemiliknya mendapat pahala-pahala kebajikan. Dan sekiranya ia meninggalkannya lalu mendaki satu atau dua tempat tinggi, maka jejak dan kotorannya menjadi pahala-pahala kebajikan baginya. Maka dari itu kuda seperti itu menjadi pahala bagi pemiliknya. Kuda yang diikat oleh seseorang karena ingin menjaga kehormatan diri (tidak minta-minta) dan ia tidak lupa akan hak Allah s.w.t pada leher ataupun punggung kuda itu, maka kuda itu menjadi pelindung baginya. Dan kuda yang diikat (dipangkal) oleh seseorang karena kebanggaan, riya dan memusuhi orang-orang Islam, maka kuda itu mendatangkan dosa baginya" (Riwayat Al-Bukhari no. 2371)

Itulah antara adab atau etika yang selalu dipelihara oleh seorang muslim terhadap hewan karena taat kepada Allah dan Rasulnya, sebagai pengamalan terhadap ajaran yang diperintahkan oleh syari'at Islam, syari'at yang penuh rahmat, sayari'at yang serat dengan kebaikan bagi segenap makhluk, manusia ataupun haiwan.


[Dari kitab Minhajul Muslim,  Syaikh Abu Bakar Jabir Al-Jaza'iri ] 



والله أعلمُ بالـصـواب

Berbakti Kepada Ibu Bapa (Birrul Walidian)




السلام عليكم


Mutakhir ini banyak sekali anak-anak yang durhaka kepada kedua orang tuanya, tidak menghargai orang tua, melecehkan orang tua, bahkan ada yang mencaci-maki, menghina dan memukul orang tuanya, na'udzubillah minzalik. Padahal, ibubapalah  yang melahirkan, mengurus, memberikan nafkah, mendidik dan membesarkan dia sampai dia dewasa. Karena itu wajib bagi seorang anak untuk taat kepada orang tua dan harus memenuhi hak orang tua dengan mematuhi perintah dan taat kepadanya.

Jadi perbahasan tentang berbakti kepada kedua orang tua adalah amat penting untuk diberi perhatian lebih-lebih lagi dizaman yang serba kekurangan nilai-nilai murni dalam diri manusia. Banyak hak yang harus dipenuhi oleh manusia, pertama hak Allah s.w.t, kedua hak Rasulullah s.a.w dan ketiga adalah hak kedua orang tua kemudian hak-hak lainnya. Hak Allah s.w.t yang harus dipenuhi oleh hamba-hambaNya adalah mentauhidkanNya, beribadah kepadaNya dan meninggalkan segala bentuk keyakinan, perkataan dan perbuatan syirik. Sebagaimana hadith daripada Mua'dz bin Jabal r.a:

"Aku pernah bersama Rasulullah s.a.w diatas seekor keledai, lalu beliau bersabda kepadaku, "Hai Mua'dz, tahukah kamu apa hak Allah yang wajib dipenuhi oleh para hambaNya dan apa hak para hamba yang pasti dipenuhi Allah ?" Aku menjawab, "Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui". Baginda bersabda , "Hak Allah yang wajib dipenuhi oleh para hambanya ialah supaya mereka beribadah kepadaNya saja dan tidak berbuat syirik sedikitpun kepadaNya, sedangkan hak para hamba yang pasti dipenuhi Allah adalah bahwa Allah tidak akan menyiksa orang yang tidak berbuat syirik sedikitpun kepadaNya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hak-hak Rasulullah s.a.w yang harus dipenuhi oleh umat Islam adalah taat kepadanya, menjauhkan semua larangannya dan beribadah kepada Allah s.w.t dengan mengikuti (ittiba') yang apa dicontohkannya menerusi sunnah-sunnahnya . Karena Baginda diutus untuk ditaati dan diteladani. Firman Allah s.w.t: 


لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah" (Al-Ahzab : 21)


قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Katakanlah : "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Imran : 31)


Islam juga sangat mementingkan hak-hak orang tua dan kaum kerabat, sehingga kita ditekankan untuk mengamalkannya dengan baik terutama hak-hak orang tua, karena mereka telah melahirkan, mengasuh, mendidik dan membesarkan kita sehingga kita menjadi manusia yang berguna. Oleh karena itu kita wajib berbakti kepada kedua orang tua degan cara mentaati, menghormati, mencintai, menyayangi, membahagiakan serta mendoakan keduanya ketika keduanya masih hidup maupun sudah meninggal dunia.

Taat kepada kedua orang tua adalah hak orang tua atas anak sesuai dengan perintah Allah dan RasulNya selama keduanya tidak memerintahkan untuk melakukan hal-hal yang tidak sesuai dengan aturan dan syari'at Allah dan RasulNya. Rasulullahn s.a.w bersabda:

" Tidak boleh taat kepada seseorang dalam berbuat maksiat kepada Allah" ( Riwayat Ahmad)

Sebaliknya, kita juga dilarang derhaka kepada kedua ibu bapa kerana hal itu termasuk antara dosa besar yang paling besar. Dalam satu riwayat disebutkan bahawa seseorang tidak masuk syurga mereka yang derhaka kepada kedua orang tuanya. 

Daripada Abdullah bin Amr r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidak masuk syurga orang yang suka mengungkit-ungkit kebaikan (menyebut-nyebut kebaikan yang sudah diberikan), anak yang derhaka dan pecandu khamr (arak)" (Riwayat Nasai'e, Shahih Jami'us Shaghir No. 7676)

Birrul Walidian (berbakti kepada kedua orang tua) adalah salah satu masalah yang penting dalam Islam. Di dalam Al-Qur'an, setelah memerintahkan kepada manusia untuk bertahuid kepada-Nya, Allah s.wt memerintahkan untuk berbakti kepada kedua orang tuanya. Firman Allah s.w.t 


وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
" Dan Rabb-mu telah memerintahkan kepada manusia janganlah ia beribadah melainkan hanya kepadaNya dan hendaklah berbuat baik kepada kedua orang tua dengan sebaik-baiknya. Dan jika salah satu dari keduanya atau kedua-duanya telah berusia lanjut disisimu maka janganlah katakan kepada keduanya 'ah' dan janganlah kamu membentak keduanya" (Al-Isra : 23)

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
" Dan katakanlah kepada keduanya perkataan yang mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang. Dan katakanlah, "Wahai Rabb-ku kasihanilah keduanya sebagaimana keduanya mengasihaniku sewaktu aku masih kecil" (Al-Isra : 24)

Berkata Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam menerangkan ayat tersebut:

"Allah Ta'ala telah mewajibkan kepada semua manusia untuk beribadah hanya kepada Allah saja, tidak menyekutukan dengan yang lain. " Qadla" disini bermakna perintah sebagaimana yang dikatakan Imam Mujahid, wa qadla yakni washa (Allah berwasiat). Kemudian dilanjutkan dengan "Wabil waalidaini ihsana" hendaklah berbuat baik kepada kedua orang tua dengan sebaik-baiknya. Ayat ini mempunyai makna yang sama dengan surat Luqman ayat 14.

أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ 
" .... hendaklah kalian bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu dan kepada-Ku lah kalian kembali" (Luqman:14)

Dan jika salah satu dari keduanya atau keduanya berada disisimu dalam keadaan lanjut usia, "fa laa taqul lahuma uffin" maka janganlah berkata kepada keduanya 'ah' ('cis' atau yang lainnya). Jangan memperdengarkan kepada keduanya perkataan yang buruk. "Wa laa tanharhuma" dan janganlah kalian membenci keduanya. Ada juga yang mengatakan bahwa "Wa laa tanhar huma ai la tanfudz yadaka alaihima" maksudnya adalah janganlah kalian mengibaskan tangan kepada keduanya. Ketika Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang perkataan dan perbuatan yang buruk, Allah s.w/t juga memerintahkan untuk berbuat dan berkata yang baik. Seperti dalam firman Allah s.w.t " wa qul lahuma qaulan karima" dan katakanlah kepada keduanya perkataan yang mulia, yaitu perkataan yang lembut dan baik dengan penuh adab dan rasa hormat. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan kasih sayang, hendaklah kalian bertawadlu' kepada keduanya. Dan hendaklah kalian berdo'a, "Ya Allah sayangilah keduanya sebagaimana keduanya menyayangi dan mendidiku di waktu kecil", pada waktu mereka berada di usia lanjut hingga keduanya wafat. [Tafsir Ibnu Kathir Juz III hal 39-40, Cet.I Maktabah Daarus Salam Riyadh, Th.1413H]

Perintah Birrul Walidain juga tersebut dalam surat An-Nisa ayat 36, Allah s.w.t  berfirman.

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
"Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukanNya dengan sesuatu, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kepada kaum kerabat kepada anak-anak yatim kepada orang-orang miskin, kepada tetangga yang dekat, tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan dirinya" (An-Nisa : 36)

Para ulama terdahulu telah membahas masalah Birrul Walidain (berbakti kepada kedua orang tua) ini dalam kitab-kitab mereka. Sepeti dalam kitab Shahih Bukhari, Shahih Muslim dan kitab-kitab hadith besar (Ummahatul Kutub) lainnya dalam pembahasan tentang berbakti kepada kedua orang tua dan ancaman terhadap orang-orang yang durhaka kepada kedua orang tua.

Menururt lughoh (bahasa), Al-Ihsan berasal dari kata ahsana-yuhsinu-ihsanan. Sedangkan yang dimaksud dengan ihsan dalam pembahasan ini adalah berbakti kepada kedua orang tua yaitu menyampaikan setiap kebaikan kepada keduanya semampu kita dan bila memungkinkan mencegah gangguan terhadapa keduanya. Menurut Ibnu Athiyah, kita wajib juga mentaati keduanya dalam hal-hal yang mubah, harus mengikuti apa-apa yang diperintahkan keduanya dan menjauhi apa-apa yang dilarang.

Sedang 'uquq bermaksud memotong (seperti halnya aqiqah yaitu memotong kambing). 'Uququl Walidain adalah gangguan yang ditimbulkan seorang anak terhadap kedua orang tuanya baik berupa perkataan maupun perbuatan. Contoh gangguan dari seorang anak kepada kedua orang tuanya yang berupa perkataan yaitu dengan mengatakan 'ah' atau 'cis', berkata dengan kalimat yang keras atau menyakitkan hati, menggertak, mencaci dan yang lainnya. Sedangkan yang berupa perbuatan adalah berlaku kasar seperti memukul dengan tangan atau kaki bila orang tua menginginkan sesuatu atau menyuruh untuk memenuhi keinginannya, membenci, tidak memperdulikan, tidak bersilaturrahmi atau tidak memberikan nafkah kepada kedua orang tuanya yang miskin.

Bersambung, insyaAllah..


والله أعلمُ بالـصـواب

Larangan Buruk Sangka Dan Mencari-Cari Kesalahan Orang



السلام عليكم




Buruk sangka (su'u dzan) adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (buruk/tercela). Manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk di dalam hati manusia. Apabila timbulnya buruk sangka, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu timbul sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu yang menyebabkan si pelaku itu berasa puas. Ia adalah suatu penyakit hati yang akan menyerang sesiapa sahaja. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang kukuh mampu mengatasi rasa buruk sangka dan mencari kesalahan orang lain ini. 

Allah Ta’ala berfirman.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, karena sesungguhnya sebagian tindakan berprasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain” (Al-Hujurat : 12)

Dalam ayat ini terkandung perintah untuk menjauhi kebanyakan berprasangka, karena sebagian tindakan berprasangka ada yang merupakan perbuatan dosa. Dalam ayat ini juga terdapat larangan berbuat tajassus. Tajassus ialah mencari-cari kesalahan-kesalahan atau keburukan atau aib orang lain, yang biasanya merupakan kesan dari prasangka yang buruk.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

إِيَّا كُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيْثِ وَلاَ تَحَسَّسُوا وَلاَ تَجَسَّسُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَتَدَابَرُوا وَلاَتَبَاغَضُوا وَكُوْنُواعِبَادَاللَّهِ إحْوَانًا

“Berhati-hatilah kalian dari tindakan berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari keburukan orang lain, saling inti-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi, dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara” (Riwayat  Al-Bukhari no. 6064 dan Muslim no. 2563 )

Amirul Mukminin Umar bin Khathab berkata, “Janganlah engkau berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari saudaramu yang mukmin kecuali dengan persangkaan yang baik. Dan hendaknya engkau selalu membawa perkataannya itu kepada prasangka-prasangka yang baik”

Ibnu Kathir menyebutkan perkataan Umar di atas ketika menafsirkan sebuah ayat dalam surah Al-Hujurat.

Bakar bin Abdullah Al-Muzani yang berkata : “Hati-hatilah kalian terhadap perkataan yang sekalipun benar kalian tidak diberi pahala, namun apabila kalian salah kalian berdosa. Perkataan tersebut adalah berprasangka buruk terhadap saudaramu”.  (Tahdzib At-Tahdzib) 

Disebutkan bahwa Abu Qilabah Abdullah bin Yazid Al-Jurmi berkata : “Apabila ada berita tentang tindakan saudaramu yang tidak kamu sukai, maka berusaha keraslah mancarikan alasan untuknya. Apabila kamu tidak mendapatkan alasan untuknya, maka katakanlah kepada dirimu sendiri, “Saya kira saudaraku itu mempunyai alasan yang tepat sehingga melakukan perbuatan tersebut”.  [kitab Al-Hilyah karya Abu Nu’aim (II/285) ] 

Sufyan bin Husain berkata, “Aku pernah menyebutkan keburukn seseorang di hadapan Iyas bin Mu’awiyyah. Beliaupun memandangi wajahku seraya berkata, “Apakah kamu pernah ikut memerangi bangsa Romawi?” Aku menjawab, “Tidak”. Beliau bertanya lagi, “Kalau memerangi bangsa Sind , Hind (India) atau Turki?” Aku juga menjawab, “Tidak”. Beliau berkata, “Apakah layak, bangsa Romawi, Sind, Hind dan Turki selamat dari kburuknmu sementara saudaramu yang muslim tidak selamat dari keburukanmu?” Setelah kejadian itu, aku tidak pernah mengulangi lagi berbuat seperti itu” ( Bidayah wa Nihayah, Ibnu Kathir (XIII/121))


Abu Hatim bin Hibban Al-Busti bekata:

Orang yang berakal wajib mencari keselamatan untuk dirinya dengan meninggalkan perbuatan tajassus dan senantiasa sibuk memikirkan keburukan dirinya sendiri. Sesungguhnya orang yang sibuk memikirkan keburukan dirinya sendiri dan melupakan keburukan orang lain, maka hatinya akan tenteram dan tidak akan merasa gelisah. Setiap kali dia melihat keburukan yang ada pada dirinya, maka dia akan merasa hina tatkala melihat keburukan yang serupa ada pada saudaranya. Sementara orang yang senantiasa sibuk memperhatikan keburukan orang lain dan melupakan keburukannya sendiri, maka hatinya akan buta, badannya akan merasa letih dan akan sulit baginya meninggalkan keburukan dirinya”.[Raudhah Al-‘Uqala (hal.131)]

Beliau juga berkata,:

“Tajassus adalah cabang dari kemunafikan, sebagaimana sebaliknya prasangka yang baik merupakan cabang dari keimanan. Orang yang berakal akan berprasangka baik kepada saudaranya, dan tidak mau membuatnya sedih dan berduka. Sedangkan orang yang bodoh akan selalu berprasangka buruk kepada saudaranya dan tidak segan-segan berbuat jahat dan membuatnya menderita”.[Raudhah Al-‘Uqala (hal.133)]


والله أعلمُ بالـصـواب

Akhlak Mulia Faktor Islam Berkembang Di Eropah



السلام عليكم





SELEPAS tragedi runtuhan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001, sentimen dan fenomena Islamofobia masyarakat barat menghantui umat Islam. Laporan berita negatif selain memomokkan Islam sebagai ‘pengganas’ menyebabkan imej Islam tercalar teruk.  Beberapa serangan dan peperangan dilancarkan terutama ke atas Iraq dan Afghanistan, kononnya mahu mengembalikan keamanan dunia. 

Namun, Islamofobia terutama di Eropah sudah berubah kerana seruan serta syiar Islam bersinar di mana-mana. Jangan terkejut, jika ramai penganut Kristian dan agama lain memeluk Islam di seluruh Eropah setiap hari. Kebanyakan Muslim di Eropah bertumpu di bandar besar seperti London, Bradford di United Kingdom, Rotterdam, Amsterdam di Belanda, Paris, Perancis dan Copenhagen, Jerman.  Benarlah, jika usaha dakwah dilakukan dengan penuh ikhlas lambat laun pasti akan membuka pintu hidayah golongan yang dipilih Allah itu menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Alhamdulillah, siapa sangka, dalam keadaan Islam di Eropah yang ditekan dan laporan berita negatif, Islam terus berkembang seperti cendawan selepas hujan. Malah, nilai sosial masyarakat tempatan mulai berubah. Fenomena penerimaan Islam di Eropah menjadi bukti kukuh Kristian semakin terancam.  Di England, beberapa gereja diambil alih pengurusannya dan dijadikan masjid. Ada kalangan masyarakatnya yang memeluk Islam kuat jihadnya berusaha mencari dana membeli tapak gereja untuk dijadikan masjid.

GEREJA TUKAR MASJID...Masjid Didsbury di Manchester antara gereja yang dijadikan masjid. 

Walaupun kerajaan Britain mengharamkan pembelian gereja kerana sedar rumah ibadat Kristian kian hilang fungsinya, ia terus memberi semangat kepada mujahid baru di Eropah. Kini, kubah masjid menenggelamkan menara gereja yang menjadi petunjuk keyakinan baru umat Islam manakala gereja semakin terbiar. Jika dulu umat Islam terpaksa menunaikan solat secara rahsia di bilik gelap di bawah bangunan kerana bimbang dicemuh dan dihalang, kini mereka bebas sembahyang di mana-mana saja tanpa gangguan.

Itu antara catatan kembara Pengarah Bahagian Dakwah, Professional Islamic Support And Nurture Group (Pisang), Ustaz Halim Din mengenai kesuburan Islam di Eropah termasuk England, Perancis, Jerman, Switzerland, Itali dan Belanda. Beliau berkata, Pisang adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di Bicester, England bagi misi dakwah di Eropah.

“Sejak ditubuhkan pada 2008, kami menawarkan serta menyediakan perkhidmatan kepada sesiapa saja tanpa mengira agama, usia, jantina atau bangsa. “Perkembangan dan penerimaan Islam cukup memberangsangkan. Buktinya, semakin banyak masjid dibina dan setiap hari ada mengucap dua kalimah syahadah. “Di Perancis, ada 10 juta umat Islam dari 65 juta penduduknya. Lebih 2,000 masjid dibina, malah di Paris ada 300 masjid,” katanya.

Halim berkata, pelbagai pendekatan dakwah dijalankan di Perancis salah satunya ialah melalui dakwah di penjara. “Hasil dakwah bersama Presiden Pusat Tauhid Perancis, 65 peratus daripada banduan memeluk Islam. “Jika mengambil kira perkembangan positif itu, tidak mustahil sasaran menjadikan Perancis negara Islam pada 2050 akan menjadi realiti,” katanya.

Menurutnya di Belanda pertubuhan Islamnya terbukti kuat, berkesan dan lebih diyakini.

“Buktinya, pertubuhan Islam itu pernah mengutuskan surat jemputan majlis berbuka puasa ke pejabat kerajaan. Hasilnya lebih lebih 3,000 jemputan hadir. “Akhlak umat Islam yang ramah dan pekerti terpuji menambat mereka untuk mendekati dan memeluk Islam,” katanya.

Halim juga dimaklumkan pensyarah di Universiti Islam Eropah bahawa setiap minggu ramai anak gadis datang berjumpa pensyarah itu untuk berkongsi masalah. “Ramai ingin tahu rahsia keharmonian rumah tangga. Dan, di pertemuan itu, kalimah syahadah diungkapkan dan dihuraikan maknanya sehingga mereka menitiskan air mata. “Kaedah dakwah seperti menjalankan kerja amal perlu dipertingkat dan diperkemaskan lagi dalam usaha mendekati masyarakat kepada Islam,” katanya.

Malah katanya Presiden Pisang, Hamidi Abdul Rahman pernah dijemput dan ditemuramah stesen televisyen satelit Manchester, DM Digital TV pada 2008 melalui saluran Islamnya menghurai isu keganasan, pendidikan dan masyarakat. 

“Program selama setengah jam itu disertai dua wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Pengarah Institut Tamadun Islam, Prof Datuk Dr Yusof Othman dan Profesor Dr Abdul Latif Samian,” katanya. 

Menurutnya, Pisang turut mengadakan klinik bergerak bagi menjalankan pemeriksaan dan rawatan sihir dan gangguan jin di Manchester, Birmingham dan Aberdeen. “Objektif utama kami ialah menggalakkan kaedah terapi al-Quran kerana ada penyakit berpunca daripada jin. “Kami turut mengadakan khidmat kaunseling kepada masyarakat yang bermastautin di United Kingdom selain mengurus soal perkahwinan, penderaan kanak-kanak, tekanan perasaan, kemurungan, homoseksual dan lesbian,” katanya.

Katanya, Pisang turut membimbing serta menyelamatkan genius Matematik dan bekas penuntut di Universiti Oxford, Sufiah Yusof yang pernah melalui detik hitam kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. 

“Alhamdulillah, Sufiah kini pulih dan insaf sepenuhnya dan kini memberi motivasi kepada mereka yang datang ke Rumah Pisang,” katanya. 

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, Pisang merancang beberapa aktiviti dakwah di Eropah, antaranya Himpunan Belia Islam SeEropah pada 2 hingga 11 Mei ini. “Kami menjangka lebih 200 peserta dari seluruh Eropah akan hadir ke program itu yang dimeriahkan dengan ceramah dan qiamullail,” katanya.

p/s- Kadang kala umat Islam di Barat dan para muallaf yang baru mengenal Islam jauh lebih cinta dan mengambil berat akan Islam berbanding kita yang sudah sekian lama berstatus Islam, renung dan hisab kembali keislaman kita.



والله أعلمُ بالـصـواب

Penulisan Di Laman Maya, Saham Pahala Atau Dosa?



السلام عليكم



Laman maya bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam masyarakat kita dan dunia. Masyarakat zaman ini telah didedahkan dengan kemajuan dan kepesatan teknologi dari masa ke semasa. Bukan sahaja golongan dewasa malah kanak-kanak yang masih kecil juga tidak kekok dengan perkembangan dunia serba moden dan canggih ini. Kehadiran teknologi internet banyak memberi pengaruh kepada manusia sejagat. Dengan kemudahan ini maka pelbagai teknologi lain wujud darinya. Salah satunya adalah pembaharuan dan perkembangan dalam teknologi berkomunikasi dan perkongsian maklumat dengan wujudnya laman sosial seperti facebook, twitter, blog, dan sebagainya. 

Kewujudan laman ini benar-benar memberi impak yang cukup besar kepada kita semua. Jika dilihat perkembangannya hari ini, hampir semua orang mempunyai akaun masing-masing tidak kiralah facebook, blog, twitter, myspace dan sebagainya. Jika di awal kewujudannya disedari dan digunapakai oleh golongan remaja dan dewasa, namun hari ini kanak-kanak yang masih bersekolah rendah malah yang masih belum bersekolah turut tidak terlepas dari pengaruh teknologi laman maya ini. Pendek kata, sesiapa yang tidak mempunyainya boleh dianggap ketinggalan, terkebelakang atau kurang lengkap. Begitulah pandangan yang biasa didengar dari mulut ke mulut.


Realiti dan Teguran Penulisan Di Laman Maya Hari Ini

Realiti hari ini jika diteliti satu persatu, maka kita akan dapati bahawa ramai di antara kita yang tidak bijak menggunakan medium ini ke jalan yang betul dan tepat. Laman sosial yang cukup terkenal seperti facebook seharusnya menjadi wadah untuk berukhuwwah, mencari kenalan lama, dan menyampaikan dakwah dan ilmu namun ia tidak menjadi keutamaan bagi ramai saudara Islam kita. Malah ia disalahgunakan untuk mewujudkan persengketaan, menipu orang lain dengan perniagaan, mencaci dan memecahbelahkan perpaduan malah hingga boleh meruntuhkan sebuah ikatan perkahwinan yang suci.  Nauzubillah!

Jika dilihat pada medium blog pula lebih banyak versi dan kepelbagaiannya. Blog merupakan antara medium informasi yang begitu berpengaruh. Adalah menjadi suatu keperluan dengan mewujudkan blog-blog yang sarat dengan perkongsian ilmu, informasi, berita yang berfaedah dan apa jua yang memberi menfaat kepada pembaca. Ilmu ini tidaklah terbatas kepada ilmu agama sahaja malah boleh dimanfaatkan blog dengan mewujudkan blog tutorial kuliah, dakwah, kesihatan, perubatan dan pelbagai lapangan ilmu. Sungguh menyedihkan apabila blog disalahgunakan untuk tujuan menyebarkan aib, fitnah, gosip dan perkara-perkara yang sia-sia lagi tidak bermanfaat bukan sahaja kepada penulis malah kepada pembaca juga. 

Barangkali ada di antara kita yang lupa atau tidak sedar akan peringatan Allah s.w.t dalam kitab suci al-Quran :


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan "(al-Maidah:2 )




إِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ أَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ اَمَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيْمٌ فِى الدُّنْيَا وَالْأَخِرَةِ


“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat”. ( An Nuur: 19)


Kepada saudara seislam yang mungkin terbaca coretan dan nukilan  ini walau bila waktunya dan dimana anda berada, sentiasa lah beringat bahawa penulisan adalah sesuatu amalan yang akan dihisab dan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak. Penulisan yang anda tulis adalah sama seperti lidah yang digunakan untuk berkata-kata, akan dinilai, dan disoal penggunaannya. Boleh jadi penulisan kita ini menjadi aset berharga untuk ummah dan diri dengan pahala yang mengalir kelak atau boleh jadi ia saham untuk mencampakkan kita ke neraka jahannam yang amat pedih lagi menyeksakan. Nauzubillahiminzalik!

Keutamaan kita dalam menulis adalah mencari mardhatillah (keredhaan Allah) dan ganjaran pahala atas amalan ini. Jika peluang beramal dan berdakwah ini telah tersedia, maka gunakanlah sebaiknya dan mengapa perlu menolaknya?. Barangkali hadith ini mampu membuka minda kita semua untuk sedar.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

اذا مات ابن ادم انقطع عمله الا من ثلاث صدقة جارية او علم ينتفع به وولد صالح يدعوله. رواه مسلم ٩٤٩


"Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amalannya, kecuali (pahala) sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang selalu memanjatkan doa untuknya" (Riwayat Muslim no.949)


Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:


من دعا الى هدى كان له من الاجر مثل اجور من تبعه لا ينقص ذلك من اجورهم شيىٔا ومن دعا الى ضلالة كان عليه من الاثم مثل اثام من تبعه لا ينقص ذلك من اثا مهم شيىٔا. رواه مسلم ٢٦٧٤

"Sesiapa yang menyeru manusia kepada petunjuk, maka dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang melakukannya tanpa dikurangkan walau sedikitpun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru manusia kepada kesesatan, maka dia juga akan turut berdosa sebagaimana dosa orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan dosa mereka walau sedikitpun" (Riwayat Muslim no.2674)

Bayangkan jika anda menulis satu ilmu dan ia tersebar ke satu orang. Kemudian orang itu menyebarkannya kepada orang yang lain dan seterusnya hingga berpuluh, beratus dan beribu-ribu orang sekalipun anda telah meninggal dunia, namun ganjaran pahala masih mengalir kepada anda. Dan bayangkan pula jika anda menulis satu keburukan, maksiat, dan perkara yang menjerumus kepada dosa lantas disebar kepada seorang kemudian dia sebarkan lagi kepada orang lain hingga berpuluh, beratus dan beribu-ribu orang membacanya. Sudah tentu dosa kita tidak terhitung banyaknya sekalipun kita telah meninggal dunia. Nauzubillah!

Wahai saudara seagamaku, nukilan ini daku titipkan untuk diriku khususnya dan buat diri semua saudaraku di luar sana, agar kita tidak menyesal di hadapan Allah s.w.t kelak, hanya kerana kebejatan dan kedhaifan dalam penulisan. Sama-sama renungi, insafi dan bertaubat. Kembalilah kepangkal jalan.





والله أعلمُ بالـصـواب